Adakah Anwar Ibrahim sedang menunggu insiden ala Baling kedua sebelum muncul sebagai wira?
Industri padi dan beras negara kini berada dalam krisis yang semakin parah, namun kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih gagal mengambil tindakan segera.
Isu kartel yang telah lama membelenggu sistem rantaian industri ini bukan sahaja menyebabkan harga beras melambung tinggi, malah ia turut mengesani kilang-kilang kecil dan menghimpit pesawah hingga ke tahap menggadai tanah sendiri.
Sejak sekian lama, kartel-kartel beras didakwa menguasai lebih 70% pasaran, membolot keuntungan dengan berlaku curang menukar bungkusan beras tempatan kepada beras import serta memanipulasi harga
belian padi.
Akibatnya, pesawah terpaksa menjual padi mereka dengan harga yang tidak adil, manakala pengguna pula dipaksa membayar harga beras yang lebih mahal.
Lebih
membimbangkan, hanya tinggal 11 buah kilang Melayu di seluruh negara, berbanding jumlah yang jauh lebih besar sebelum ini.
Jika keadaan ini dibiarkan, dalam setahun dua, industri padi dan beras bumiputera akan lenyap sepenuhnya.
Tujuh lagi kilang bumiputera kini hanya bernafas nyawa-nyawa ikan, dan jika kerajaan tidak segera bertindak, mereka hanya menunggu waktu untuk menutup operasi.
Ironinya, sejak laporan kartel padi dan beras dilengkapkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada 6 November 2024, ia masih belum diumumkan kepada rakyat.
Dua bulan rakyat menunggu pendedahan yang dijanjikan awal tahun ini, namun Anwar sekadar mendiamkan diri. Bahkan menyinggung jiwa kelompok pesawah yang mengadakan demonstrasi aman di Putrajaya pada
27 Januari lalu sebagai "mengganggu lawatan Presiden Indonesia".
Persoalan pokok yang bermain di benak seluruh rakyat Malaysia adalah, mengapa perdana menteri mengambil masa terlalu lama untuk mendedahkan dapatan laporan ini?
Sedangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh membuat pengakuan kerajaan berjaya menangani isu harga ayam sebelum ini apabila kartel ayam sudah dibanteras, maka kerajaan dapat mengawal harga barang keperluan.
Seperti yang disebut oleh Gabungan Pengilang-pengilang Beras Malaysia, jika kartel bersatu dan berhenti mengeluarkan beras hanya selama tiga hari, negara akan lumpuh dan berhadapan krisis yang
teruk.
Bagaimana mungkin kerajaan membiarkan industri sepenting ini dikawal oleh beberapa syarikat besar yang bertindak seperti raja kecil dalam menentukan harga dan bekalan makanan negara?
Sampai bila rakyat harus menunggu penyelesaian ini dituntaskan?
Sejarah telah membuktikan bahawa apabila rakyat ditekan dengan kos sara hidup yang melampau, menatijahkan peristiwa Demonstrasi Baling 1974, sebagai kesan akibat rakyat kelaparan. Ketika itu, Anwar
memimpin gerakan sekumpulan mahasiswa mengadakan demonstrasi hingga ke tahap membawa naratif palsu penduduk Baling mati akibat kelaparan.
Adakah Anwar sedang menunggu insiden ala Baling kedua sebelum muncul sebagai wira?
Apa pun jeritan kecil pesawah dan pengilang Bumiputera terus sepi. Sepi dalam gemuruh sorakan lawatan Erdogan ke Putrajaya pada 11 Februari.
Lawatan yang ditunggu-tunggu Anwar setelah lima kali undangannya ke atas pemimpin Turkiye itu sejak Mei 2023. Biarlah Anwar melayani tamu kenegaraannya itu. Bimbang kalau-kalau hati kelompok pesawah tersinggung lagi. Cukuplah "teguran" yang pernah dibuat perdana menteri pada 27 Januari.
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment