Penjelasan Duta Besar Indonesia, Hermono mengesahkan Persempadanan Laut Wilayah Kedua-dua Negara di Laut Sulawesi (Triti Laut Sulawesi) ditandatangani antara Malaysia dengan negaranya tidak membabitkan blok Ambalat seperti disiarkan di muka depan akhbar ini diharap dapat meredakan 'ribut dalam cawan' dicetuskan ahli politik tanah air. Pengesahan itu membenarkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa apa ditandatangani dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo awal bulan ini hanya membabitkan isu sudah diselesaikan secara persepakatan bersama.
Rundingan bagi perbatasan laut itu sudah berlangsung selama 18 tahun membabitkan pelbagai aspek termasuk dari segi perundangan, teknikal, ekonomi dan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Indonesia, manakala perjanjian maritim itu pula ditandatangani selepas dipersetujui dan mendapat nasihat daripada pihak berautoriti termasuk Peguam Negara. Isu Ambalat pula membabitkan blok lautan kira-kira 15,235 kilometer persegi yang kaya dengan minyak mentah dan gas asli dengan pemilikannya menjadi pertikaian antara negara kita dengan negara jiran itu sejak 2000 susulan perselisihan peta digunakan.
Kita tidak menafikan hak mana-mana pemimpin politik termasuk pembangkang untuk menjalankan tanggungjawab semak dan imbang terhadap tindak-tanduk kerajaan tetapi ia perlu dilaksanakan secara bona fide atau niat baik, apatah lagi membabitkan isu sensitif antara negara serantau yang sudah menjadi duri dalam daging hubungan diplomasi. Mereka berhak untuk mengemukakan pertanyaan, memohon penjelasan, bahkan memberikan kritikan tetapi perlu menyemak fakta sebelum membuat sebarang tuduhan, apatah lagi melontarkan tohmahan berat seperti menggadaikan maruah serta kedaulatan negara.
Pada masa sama, kita menyarankan kerajaan untuk bersikap proaktif dalam menangani tuduhan serius seperti ini pada masa hadapan dan menjangkakan reaksi daripada pemegang taruh seperti ahli politik pembangkang serta kemungkinan ia akan dieksploitasi dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Dalam kes Triti Laut Sulawesi ini, kerajaan boleh mendedahkan titik koordinat persempadanan atau sekiranya tidak boleh didedahkan pada masa ini, pihak pentadbiran boleh menggunakan mekanisme Parlimen seperti Jawatankuasa Pilihan Khas yang pernah dilakukan apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibabitkan dalam dokumen perjanjian perolehan vaksin bersifat sulit.
Dalam konteks mencari penyelesaian terhadap pertikaian yang sudah lama berlarutan itu, kita meminta kerajaan memberi perhatian kepada cadangan pakar supaya kedua-dua negara melaksanakan pendekatan pembangunan bersama seperti pernah dilakukan Thailand dan Vietnam, sekali gus memastikan potensi simpanan 764 juta tong minyak dan 1.4 trilion kaki padu gas dapat memberikan manfaat. Malaysia boleh mempelopori usaha ini dengan meyakinkan Indonesia demi kepentingan bersama dan atas semangat ASEAN kerana tak ada kusut yang tak selesai, tak ada keruh yang tak jernih.
-BH Online
No comments:
Post a Comment