Perjuangan belum berakhir, tapi ibu Zara Qairina sudah menang!
Bayangkan perasaan seorang ibu saat satu-satunya anak yang dia ada telah meninggal dunia, paling parah ... dituduh membunuh diri.
Sejuta kata pun takkan mampu membayangkan apa yang dia rasa kerana begitu parahnya. Hancur!
Anaknya sudah tidak mampu bersuara untuk mengaku bersalah atau membela diri, justeru daripada siapa dia boleh mendapatkan cerita lanjut tentang ini?
Sumber mana boleh dipercayai?
Allahuakbar. Sekuat mana pun firasat seorang ibu yang mengatakan anaknya tidak bersalah, anaknya teraniaya, namun siapakah yang dapat membuktikan telahan dan kebenaran kata-katanya?
Membayangkan situasi inilah yang buat saya turut sama gelisah dan terus menerus follow perkembangan #Justice4Zara
Kemudian, suatu Subuh, saya menonton petikan rakaman live seorang wanita yang dengan begitu yakin mendakwa Zara dimasukkan dalam mesin basuh.
Saya terpaku. Hati saya tertanya-tanya, siapa pula wanita ini? Betul ke apa dia cakap ni?
Lama saya termenung. Tiba-tiba terasa sangat tidak selesa.
Saya membayangkan perasaan ibu Zara kalau menonton video itu.
Sama ada spekulasi itu benar atau tidak, yang pasti hati ibu Zara tentunya sudah begitu terseksa membayangkan telahan itu!
Kalau hati saya sendiri libang-libu membayangkannya, hati seorang ibu tentu lebih lagi menderita!
Sekali lagi, persoalan yang muncul adalah tentang mendapatkan kebenaran.
Dari mana?
Ibu Zara hanya seorang wanita biasa, tidak berpangkat tinggi, bukan VVIP!
Syukur, Allah menghantarkan begitu banyak saluran bantuan yang menyebabkan suara kerdilnya diangkat.
Ibu ini tidak mampu bersuara lantang untuk membela anaknya tapi banyak pihak yang bersuara lantang untuk menyuarakan haknya.
Ketika inilah, saya melihat betapa manisnya ukhuwah yang terjalin tanpa syarat. Seluruh masyarakat bangkit!
Himpunan #JusticeForZara berlangsung di Sabah, namun seluruh negara menyatakan sokongan. Terpisah dek lautan, tapi semua bersatu atas nama kemanusiaan!
Penyatuan yang manis.
Zara seorang Muslim, tapi yang bukan Muslim juga bangkit bersuara membelanya.
Zara bertudung labuh, tapi yang masih belum menutup aurat juga bangkit mempertahankannya.
Tidak canggung dengan perbezaan, tiada rasa terasing, tidak ada rasa 'kubur masing-masing'.
Allahuakbar.
Semalam, kubur Zara Qairina digali semula setelah hampir sebulan disemadikan.
Sepatutnya pada tahap ini, jenazah biasanya berada dalam fasa pembusukan aktif.
Tisu lembut mula hancur, terutama di bahagian perut dan muka.
Cecair tubuh pasti telah keluar dan mungkin telah diserap oleh tanah.
Bau pembusukan sepatutnya begitu menusuk. Kain kafan juga mungkin telah reput.
Sungguh, saya berdebar memikirkan perasaan Puan Noraidah yang mungkin akan menatap kembali anaknya setelah jenazah digali.
Bagaimana perasaannya untuk menatap si anak dalam kondisi seperti ini?
Namun, membaca perkongsian Ustazah Marhamah Rosli yang berada di samping ibu Zara, saya spontan menangis.
Ustazah kata, jasad anak ini masih seperti 'baru' dan langsung tidak berbau!
Masya-Allah. Allahuakbar!
Ini!
Hakikat ini saja sudah cukup menjadi kemenangan besar buat ibu Zara Qairina.
Setidaknya, Allah sendiri telah membersihkan nama anaknya daripada tuduhan membunuh diri. Mustahil jasad orang yang membunuh diri masih terpelihara seperti ini!
Kondisi mayat yang masih terpelihara ini begitu hampir pada tanda-tanda syahid.
Bukankah ini berita paling menggembirakan hati seorang ibu? Anak yang dikandungnya, dididik dan sangat dicintai selama ini dipilih Allah untuk menikmati kesudahan hidup paling indah! Masya-Allah.
Dan saya terpaku membaca perkongsian Ustazah Marhamah tentang kata-kata ibu Zara.
"Zara ni jaga solat. Dia bukan jaga solatnya saja, tapi juga solat kawan-kawannya. Sebab tu dia nak masuk BADAR (Badan Dakwah Rohani)."
Allahuakbar.
Zaraaa ... . ðŸ˜ðŸ˜
Semua ibu seluruh dunia mengharapkan punya anak sepertimu, nak.
Puan Noraidah, puan ibu yang sangat bertuah!
Puan jangan sedih lagi. Puan kena bangga dengan Zara.
Zara pernah membela kebenaran. Dia berani menegakkan hukum agama dan peraturan sekolah yang mahu semua pelajar patuh pada tuntutan solat.
Dia tulis nama orang yang tidak solat, dia cuba amar makruf dan nahi mungkar, justeru kerana itu dia dimusuhi.
Dan hari ini, kebenaran Zara tidak tertegak dengan pembelaan manusia.
Tapi Allah sendiri telah membelanya!
Zara Qairina, namamu sudah tidak mampu dikotori lagi, bahkan sudah mengharum mewangi seperti maksud namamu sendiri.
Tinggal lagi kami di sini masih perlu terus berjuang mencari pengkhianat agama dan negara yang telah membunuhmu.
Keadilan perlu ditegakkan agar nanti mereka yang pernah khianat tidak terus khianat lagi dan lagi, tidak lagi menyusahkan hidup orang lain selepas ini.
Allahuakbar. Terima kasih, ya Allah kerana membawa kebenaran ini.
Kami mohon keadilan terus ditegakkan.
#JusticeForZara
Ya Allah, permudahkan urusan postmortem dan lindungilah daripada segala tipu daya. Semoga kebenaran dapat terus ditegakkan.
#CNP
No comments:
Post a Comment