Oleh:Afiq Noordin
Heboh semalam bila Ahmad Maslan usulkan satu cadangan agar Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor ditangguhkan.
Tapi tak lama kemudian, kenyataan itu diturunkan oleh hampir semua portal berita.
Pelik sungguh, takkanlah berita palsu?
Pagi tadi keluar pula penjelasan daripada Tuan Mat Maslan sendiri yang memaklumkan bahawa kenyataan tersebut hanyalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi parti.
Apapun, sebagai orang biasa yang hanya menjual sambal minang, saya terpanggil juga untuk mengulas “bawang” ini.
Jujur kata, saya setuju dengan pandangan peribadi insan yang sentiasa mendapat tempat dalam kabinet kerajaan sebagai Timbalan Menteri sejak 2009 ini.
#Pertama
Kalau ikut penjelasan yang diberikan, cadangan ini terkait dengan apa yang sedang berlaku di Timur Tengah sehingga mengugat dan memberi kesan pada ekonomi seluruh dunia termasuk negara kita.
Tapi bagi saya, kalau tak ada berlaku apa-apa masalah dunia sekalipun, semua pemimpin patut setuju yang pilihan raya perlu diselaraskan semula.
Sebelum ini kita cuma tahu tentang Pilihan Raya Umum (PRU) saja dan bukan Pilihan Raya Negeri (PRN) melainkan kita orang Sabah atau Sarawak.
Mudah kata dulu PRU dan PRN diadakan serentak dalam satu masa yang sama.
Pengurusan pilihan raya jadi lagi kemas dan jauh lebih efisien sebab tak perlu berulangkali buat kerja yang sama dalam jarak tempoh yang dekat.
#Kedua
Bila kita bercakap tentang penyelarasan, dua perkara yang perlu diambil perhatian iaitu kos dan masa.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, kos pengendalian pilihan raya semakin meningkat selari dengan keperluan logistik, teknologi dan keselamatan.
Jom kita tengok kos sebenar
• Pilihan Raya Umum ke-15: sekitar RM1 bilion
• PRN Johor 2022: sekitar RM173 juta
• PRN Melaka 2021: sekitar RM46 juta
• PRN 6 negeri 2023 (Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu): sekitar RM420 juta
Jumlah anggaran keseluruhan (PRU15 + PRN berasingan):
• sekitar RM1.6 bilion hingga RM1.7 bilion
Sekarang kita bandingkan pula dengan PRU sebelum ini yang diadakan serentak dengan semua PRN
• Pilihan Raya Umum ke-14: sekitar RM500 juta
• Pilihan Raya Umum ke-13: sekitar RM400 juta
Jelas ketara kos yang berjalan serentak dengan bila buat berasingan. Jauh bezanya berlipat kali ganda.
“Apa yang dibelanjakan sampai cecah bilion-bilion ringgit tu?”
• Mobilisasi petugas SPR
• Penglibatan polis dan pasukan keselamatan
• Penyediaan logistik termasuk kertas undi dan pusat mengundi
• Latihan dan penyelarasan petugas
• Kempen yang memberi kesan kepada ekonomi setempat
Bila buat berasingan, jadi kos pun pecah dua jugalah.
#Ketiga
Pilihan raya yang kerap menjadikan negara sentiasa dalam mod berkempen. Fokus pentadbiran terganggu, dasar tertangguh, pelabur jadi berhati-hati dan rakyat sendiri akan rasa penat.
Sebagai insan yang ada ramai kenalan yang bertugas dalam sektor awam, rata-rata mereka juga mengadu penat dan letih bila kena kelapangan membantu SPR dan tinggalkan sekejap tugas sebenar mereka.
#Keempat
Dalam konteks ini, cadangan yang dibawa oleh Bang Mat Maslan sebenarnya cukup jelas, satukan PRU dan PRN.
Kalau dua kerja boleh dibuat sekali harung jadi kenapa nak kena buat dua kali?
Cadangan ini sebenarnya tak terhad kepada Melaka dan Johor saja, tapi harus juga libatkan
• Selangor
• Negeri Sembilan
• Pulau Pinang
• Kedah
• Kelantan
• Terengganu
Barulah penyelarasan ini memberi kesan sebenar, bukan sekadar perubahan kecil yang tak bawa pada impak besar.
#Kelima
Hakikatnya kos penjimatan ini akan dapat disalurkan ke tempat yang lebih perlu seperti
• Pendidikan
• Kesihatan
• Bantuan rakyat
• Infrastruktur
• Sokongan usahawan (cuba nasib)
Secara tak langsung lebih memberi kesan kepada kehidupan harian.
#Keenam
Kalau benar pemimpin kita baik kerajaan atau pembangkang sentiasa sayang, kasih, cinta, cakna, risau dan ambil berat pada kami sebagai rakyat, maka cadangan seperti ini sepatutnya dibincangkan secara serius.
Desak PMX dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri agar PRU dan PRN dijalankan serentak!
#Ketujuh
Jarang sebenarnya saya nak sahut dan bersetuju dengan kenyataan bang Mat Maslan.
Tapi sebabkan saya teringat satu slogan yang buat saya rasa wajar untuk kita semua bersuara dan bersetuju dengan beliau.
“Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.”










No comments:
Post a Comment