Generasi Ulama Baharu PAS: Dato' Ustaz Ahmad Yahaya dan Dinamika Politik Kedah
YB Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya @ Saad muncul sebagai salah seorang pemimpin PAS yang membawa wajah baharu dalam kepimpinan ulama. Sejak mula aktif dalam politik pada tahun 1997, beliau telah melalui pelbagai jawatan strategik — bermula sebagai Ketua Pemuda PAS Alor Setar, kemudian Ketua Pemuda PAS Kedah, sehinggalah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah pada tahun 2019. Kini, beliau memegang amanah sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, satu kedudukan yang lazimnya disandang oleh tokoh yang lebih berusia, namun kali ini dipikul oleh beliau pada usia yang relatif muda. Kedudukan ini menjadikan Ustaz Ahmad sebagai simbol generasi baharu ulama PAS yang berdepan cabaran besar dalam suasana politik Malaysia yang semakin dipengaruhi arus liberal, di mana suara ulama dituntut tampil lebih tegas dalam mempertahankan prinsip Islam serta hala tuju perjuangan parti.
Ustaz Ahmad menerima pendidikan awal di SMA Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah (Pondok Pak Ya). Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Maahad Buuth Islamiyyah, Al-Azhar As-Syarif di Mesir dan memperoleh Syahadah Thanawiyah. Seterusnya, beliau menyambung pengajian di Universitas Islam Negeri Sultan Sharif Kasim Riau, Indonesia dalam bidang Dakwah dan Komunikasi sehingga berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda. Kini, beliau telah menamatkan pengajian Sarjana Sastera (Sains Politik) di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pendakwah yang amat menitikberatkan ketepatan masa ini turut dihormati atas sumbangan kepada masyarakat dan negara apabila dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K.), sekali gus membawa gelaran Dato’ pada tahun 2021, selain menerima Bintang Khidmat Masyarakat (BKM) pada tahun 2009, sebagai pengiktirafan terhadap jasa beliau dalam khidmat masyarakat, dakwah dan kepimpinan.
Pernah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N14 Alor Mengkudu bagi penggal 2013–2018, memperkukuh pengalaman beliau dalam pentadbiran dan politik negeri Kedah, dan kemudiannya dilantik sebagai Senator mewakili Dewan Undangan Negeri Kedah pada tahun 2020, memperkukuh lagi pengalaman politik dan pentadbiran beliau ke peringkat yang lebih tinggi.
Kemenangan besar beliau di Parlimen Pokok Sena pada2 PRU-15, apabila menewaskan penyandangnya Mahfuz Omar dengan majoriti yang signifikan, bukan sahaja mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemimpin yang memperoleh mandat jelas daripada rakyat, tetapi juga bermakna secara peribadi, kerana beliau memilih untuk bertanding di kawasan ini — tanah kelahirannya sendiri.
Selain itu, beliau juga pernah dipertanggungjawabkan oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak pada tahun 2008 untuk menggerakkan Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA) dengan tujuan menyatukan institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama di bawah satu payung, sekali gus memperkukuh kedudukan pendidikan Islam di negeri Kedah. Kini, beliau turut mengetuai Muassasah Darul Ulum ,ilik PAS di Pokok Sena, di mana Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) dan SMI Darul Ulum beroperasi hari ini, yang lahir daripada gagasan besar seorang pemimpin agung, Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Nor.
Tokoh yang bertubuh kecil dan tenang dalam tutur bicaranya ini sejak tahun 2015 telah mengetuai PAS Kawasan Alor Setar, selepas penyandang jawatan tersebut, Dr. Ismail Salleh, mengisytiharkan keluar daripada PAS bagi mengetuai perjuangan Gerakan Harapan Baru (GHB) Kedah. Menariknya, kawasan ini kini memiliki gandingan dua tokoh nasional — Ustaz Ahmad sendiri sebagai Yang Dipertua kawasan merangkap Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, manakala Afnan Hamimi sebagai Naib Yang Dipertua kawasan merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Kedua-duanya merupakan mantan Ketua Pemuda PAS negeri, iaitu Ustaz Ahmad di Kedah dan Afnan di Pulau Pinang, sekali gus menjadikan Alor Setar sebagai kawasan yang melahirkan kepimpinan ulama dan pemuda yang kini berada di barisan hadapan politik nasional.
Lebih manis, hasil gandingan kedua-dua tokoh inilah yang berjaya merubah hagemoni Parlimen Alor Setar. Walaupun sejarah sebelum ini pernah menyaksikan kemenangan tokoh seperti Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, sejak persempadanan semula tahun 1955 kerusi ini secara konsisten diwakili oleh Ahli Parlimen bukan Melayu. Kini, PAS berjaya merampas semula kerusi tersebut selepas lebih enam dekad, hasil kepimpinan berstrategi Ustaz Ahmad Yahaya dan kekuatan jentera serta barisan kepimpinan PAS Kawasan Alor Setar yang tidak pernah mengalah dalam mempertahankan maruah politik Melayu-Islam di bandar warisan ini.
Lebih menarik lagi, kekuatan politik Ustaz Ahmad di Kedah terserlah melalui gandingannya bersama Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Kedua-duanya merupakan “team lama” dalam Dewan Pemuda PAS Kedah dan pernah bergandingan sebagai Ketua dan Timbalan semasa era kepimpinan pemuda negeri. Kini, mereka kembali bergandingan di peringkat negeri sebagai Pesuruhjaya dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah. Keserasian yang terjalin sejak sekian lama ini menjadi aset besar kepada PAS Kedah kerana ia memperlihatkan kesinambungan kepimpinan yang matang, berpengalaman dan berkeupayaan menghadapi cabaran politik semasa melalui strategi yang tersusun.
Gandingan Ustaz Ahmad dan Sanusi inilah yang dianggap sebagai faktor utama pemulihan PAS Kedah selepas melalui fasa getir — seumpama “anak ayam kehilangan ibu” — pasca pemergian Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. Krisis tersebut bertambah parah apabila ramai pimpinan kanan berhijrah ke parti lain, termasuk Dato' Wira Mahfuz Omar, Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dato' Wira Ir. Amiruddin Hamzah. Dalam suasana penuh cabaran itu, kepimpinan generasi baharu yang lahir daripada saf Pemuda PAS Kedah tampil mengisi kekosongan, memulihkan keyakinan akar umbi, serta mengembalikan PAS sebagai kuasa politik dominan di negeri Jelapang Padi.
Naratif politik ini menjadikan Ustaz Ahmad bukan sekadar simbol kebangkitan ulama muda di pentas nasional, tetapi juga sebahagian daripada gandingan kepimpinan PAS Kedah yang berjaya memulihkan parti daripada krisis, sekali gus mengangkat semula suara Islam dalam politik Malaysia..










No comments:
Post a Comment