“KITA KEHILANGAN LIMA PEJUANG TAK DIDENDANG, PETUGAS DOKTOR UDARA DAN JURUTERBANG TERKORBAN DI SARAWAK”
Oleh: Azizul Farhan
Petang tadi, sebuah helikopter terhempas di hujung landasan Long Lellang, Sarawak. Dalam helikopter itu ada lima orang.
Lima mangsa yang dilaporkan berada dalam helikopter itu ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq, pegawai perubatan Dr Ainul Baroah Kamaruddin, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit, serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya. Kapten Zainol Afiq turut dikenal pasti oleh ahli keluarganya, manakala Dr Ainul yang berusia 32 tahun disahkan keluarganya sebagai antara mangsa nahas.
Mereka bukan dalam perjalanan bercuti. Mereka sedang bekerja, membawa perkhidmatan kesihatan masuk jauh ke pedalaman Sarawak melalui Perkhidmatan Doktor Udara atau Flying Doctor Service.
Pada pukul 9.30 malam, Residen Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu terbabit meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Kesihatan.
Helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF itu dikendalikan oleh Layang-Layang Aerospace. Penerbangan berkenaan berlepas dari Miri untuk menjalankan perkhidmatan doktor udara di beberapa kawasan pedalaman termasuk Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang.
CAAM menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.58 petang.
Ada satu cerita sebelum nahas yang sangat sebak.
Seorang pekedai di Long Siut, Bungan Tegong menceritakan bahawa helikopter berkenaan sempat singgah di situ sekitar tengah hari untuk mengisi minyak. Kru helikopter berehat sebentar dan membeli barang di kedainya.
Ketika itu keadaan dilaporkan berjerebu.
Bungan sempat bertanya kepada mereka kenapa masih mahu meneruskan perjalanan dalam keadaan begitu.
Jawapan salah seorang daripada mereka cukup ringkas.
“Tak boleh aunty, sebab kami sudah ada janji dengan pesakit.”
Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke Long Lellang.
Itulah kerja pasukan Doktor Udara yang mungkin jarang kita fikirkan terutama kalau kita tinggal di bandar yang klinik dan hospital boleh dicapai dalam masa beberapa minit.
Perkhidmatan Doktor Udara sudah beroperasi di Sarawak sejak 1973. Fungsinya sangat penting kerana masih ada masyarakat yang tinggal jauh di pedalaman dengan perjalanan darat atau sungai mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke kemudahan kesihatan.
Long Lellang sendiri terletak jauh di pedalaman Baram dan didiami antaranya oleh masyarakat Kelabit dan Penan. Kawasan seperti inilah yang memerlukan khidmat doktor udara.
Doktor, jururawat dan petugas kesihatan akan diterbangkan masuk untuk merawat pesakit, melakukan pemeriksaan ibu mengandung dan kanak-kanak, membawa ubat, malah membantu membawa keluar pesakit yang memerlukan rawatan segera di hospital.
Kerja mereka mungkin tidak selalu masuk berita.
Kita jarang tahu bila mereka berlepas. Jarang tahu berapa banyak kampung yang mereka masuk. Malah mungkin tidak pernah tahu siapa nama petugas yang datang merawat penduduk di kawasan yang hanya boleh dicapai dengan helikopter.
Sehinggalah berlaku tragedi seperti hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat selepas nahas juga bukan mudah. Lokasi kejadian berada jauh di pedalaman, manakala keadaan jerebu dilaporkan menyukarkan usaha untuk sampai ke kawasan tersebut melalui udara.
Punca helikopter terhempas masih perlu ditentukan melalui siasatan. Walaupun terdapat laporan mengenai keadaan berjerebu ketika penerbangan, kita tidak boleh terus menyimpulkan bahawa jerebu menjadi punca nahas.
Itu tugas penyiasat penerbangan untuk menentukannya.
Apa yang kita tahu, lima orang keluar bekerja pada hari ini kerana ada masyarakat pedalaman yang memerlukan mereka.
Seorang juruterbang membawa empat petugas kesihatan merentas pedalaman Sarawak untuk menemui pesakit yang sedang menunggu.
Mereka tidak pulang.
Al-Fatihah buat mangsa yang beragama Islam dan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa.
Mereka mungkin tidak pernah kita kenal.
Tetapi ada pesakit di pedalaman Sarawak yang sedang menunggu kedatangan mereka.













No comments:
Post a Comment