PUTRAJAYA: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya segera meletakkan jawatan.
Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum berhubung tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Beliau menyatakan keputusan mahkamah tersebut membuktikan kerajaan telah menyembunyikan maklumat penting, sekali gus menafikan hak Najib untuk mendapatkan keadilan sewajarnya.
“Keputusan ini mengesahkan kerajaan menyembunyikan kewujudan Titah Adendum sebelum Dato’ Sri Najib Razak memfailkan permohonan di mahkamah.
“Tindakan ini merupakan satu kesalahan besar yang menafikan hak beliau untuk mendapat keadilan sewajarnya,” kata Fadhli dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, tindakan tersebut mencerminkan ketidakjujuran kerajaan dan mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan negara.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, kerajaan telah memanipulasi fakta serta berusaha menutup kebenaran daripada pengetahuan rakyat.
“Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis keyakinan ini dan mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan segera.
“Dengan keputusan mahkamah ini, kerajaan sedia ada telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar peka terhadap perkembangan itu dan memastikan sistem keadilan negara tidak dikuasai oleh manipulasi politik.
“Keutamaan perlu diberikan kepada memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan tanpa mengira latar belakang politik.
“Justeru, Perdana Menteri didesak agar segera melepaskan jawatan demi menjaga maruah dan kestabilan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
No comments:
Post a Comment