Tiong King Sing berkata Malaysia merupakan negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti, dan pelampau cuba mengganggu keharmonian.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing hari ini menyerang pengkritik yang mempersoalkan sebuah klip sempena pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sambil menyifatkan mereka golongan "ekstremis" yang mahu mengganggu keamanan.
"Saya amat kesal dengan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu ini sebagai sentimen agama dan perkauman, serta menjadikan isu ini sebagai bahan perpecahan. Sikap golongan ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita.
"Saya juga amat menentang tindakan pihak yang menyokong usaha kami sebagai satu agenda yang bercanggah dengan semangat Malaysia Madani," kata Tiong dalam mempertahankan klip berdurasi 41 saat itu yang disambut dengan pelbagai komen negatif di media sosial.
Klip yang ditayangkan semasa pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Sepang pada Isnin lalu itu dimuat naik oleh Tourism Malaysia di Facebook.
Kritikan tertumpu kepada ketiadaan masjid dalam klip itu, walaupun rumah ibadat bukan Islam seperti sebuah gereja bersejarah di Melaka dan kuil Hindu di Batu Caves dipaparkan.
Ramai merasakan video tersebut mengenepikan identiti Islam di Malaysia, di samping mengingatkan bahawa Malaysia terkenal dengan seni bina masjid yang cantik.
Tiong bagaimanapun berkata klip itu bertujuan mempromosikan pelancongan dan tarikan negara dan bukannya agama atau kaum.
Beliau kemudian menjelaskan ia juga merupakan video pelancaran ringkas, sambil menambah elemen lain "termasuk seni bina masjid yang memukau" akan dimasukkan ke dalam video promosi yang lebih terperinci.
"Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan ke dalam promosi video yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus, di mana video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," kata Tiong.
Menurutnya, isu itu tidak harus dipolitikkan.
"Ingatlah bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang menekankan nilai inklusiviti dan perpaduan."
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment