Pemerhati berkata reputasi perdana menteri sebagai 'kawan AS' di rantau ini tidak memberikan kelebihan dalam berurusan dengan Donald Trump.
Pakar melihat pertembungan di Rumah Putih baru-baru ini antara Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky sebagai bukti bahawa Trump bukanlah seorang yang mudah untuk berunding, walaupun jika melibatkan "kawan" dan "sekutu" termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Seorang penganalisis berkata insiden yang menggemparkan dunia diplomasi itu menunjukkan hubungan yang dijaga Anwar dengan pentadbiran AS sebelum ini tidak memberikan kelebihan.
"Sekutu rapat pun dilayan Trump dengan sewenang-wenangnya, apatah lagi negara seperti Malaysia yang sekali sekala buka mulut seperti dalam isu Timur Tengah yang tiada kaitan dengan Malaysia, yang kerap tidak disenangi pentadbiran Amerika selama ini," kata Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.
Oh yang pernah dilantik sebagai setiausaha politik Najib Razak pada 2009, menasihati Anwar belajar cara bekas perdana menteri itu dalam berurusan dengan Trump, di mana beliau menabur janji pelaburan Malaysia di AS dan tidak membangkitkan konflik Timur Tengah.
Beliau berpandangan pentadbiran Anwar perlu melibatkan firma perhubungan awam AS, seperti yang dilakukan Najib.
"Serahkan kepada profesional PR Amerika yang pakar dan tidak sekadar diplomat, samada ada dari latar belakang diplomasi mahupun ahli politik," katanya.
Pada 2017, Trump ketika penggal pertamanya bertemu Najib di Rumah Putih di mana presiden AS itu mengucapkan terima kasih atas pelaburan yang dibawanya.
Antara perjanjian yang dimeterai susulan itu ialah pembelian 25 pesawat Boeing bernilai AS$3.2 bilion.
Pentadbiran Najib juga berusaha menggalakkan syarikat Malaysia melabur di Amerika, manakala Najib sendiri mengadakan pertemuan dengan pemimpin perniagaan AS untuk membincangkan pelaburan dalam pelbagai sektor.
Walaupun Anwar lama dianggap sebagai pemimpin yang mendapat dokongan AS di rantau ini dan dilihat tidak mengabaikan peluang berucap di pelbagai forum dan lobi politik yang rapat dengan Washington, beliau masih belum dapat menghubungi Trump sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini.
Sebaliknya, pemimpin negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand telah pun berhubung dengan Trump sejak mengangkat sumpah Januari lalu.

Baru-baru ini, Nazri Aziz, yang menamatkan tugasnya sebagai duta ke AS bulan lalu, menafikan tuduhan beliau gagal mengatur panggilan telefon antara Putrajaya dan Washington.
Oh berkata Anwar banyak mendampingi pemimpin parti Demokrat seperti bekas naib presiden Al Gore.
"Rakannya yang lain, iaitu ahli politik Yahudi Paul Wolfowitz, dilantik oleh (Presiden George) Bush, tetapi Bush tidak mempunyai hubungan baik dengan Trump," tambahnya.
Pemerhati geopolitik Nur Ashikin Yusof bersetuju Trump bukanlah seorang pemimpin yang mudah untuk berunding.
"Trump seorang pemimpin yang sukar diramal dan mengutamakan kepentingan AS di atas segalanya," kata Nur Ashikin dari Universiti Utara Malaysia.
Katanya, hubungan AS-Malaysia berdepan jalan buntu disebabkan pendirian mengenai Palestin dan penyertaan Malaysia dalam BRICS, kerjasama ekonomi yang didalangi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, dan disertai beberapa negara lain yang tidak disenangi Washington.

Trump telah memberi amaran kepada negara anggota BRICS supaya tidak menggantikan dolar AS dengan mengancam untuk mengenakan tarif 100%.
Nur Ashikin mengingatkan bahawa Trump merupakan presiden paling pro-Israel dalam sejarah moden, yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menamatkan bantuan kepada Palestin.
"Jika berlaku pertemuan di Washington, Trump mungkin akan menuntut Malaysia melunakkan pendirian pro-Palestinnya dengan mengenakan sekatan ekonomi atau diplomatik," katanya.
Anwar secara terbuka mempertahankan hubungan Malaysia dengan kumpulan Hamas, di samping bertemu dengan pemimpin pertubuhan Palestin itu.
Anwar pernah mendakwa menerima ugutan kerana sokongannya terhadap Palestin.
Menurut laporan Bloomberg, Anwar dinasihatkan pegawai atasan untuk melunakkan pendiriannya mengenai isu Palestin dengan alasan Trump mengancam mengenakan sekatan ke atas beberapa negara termasuk Malaysia.
Memetik apa yang dilalui Raja Abdullah II dari Jordan dalam berurusan dengan Trump dalam isu Gaza, Nur Ashikin berkata ia contoh bagaimana pemimpin Islam boleh hilang kredibiliti jika gagal mengambil pendirian tegas dalam mempertahankan kepentingan dunia Islam.
"Apabila Trump mengumumkan rancangan damai yang jelas berat sebelah memihak kepada Israel, raja Jordan itu memilih pendekatan diplomatik lembut yang akhirnya merosakkan imejnya di mata rakyatnya dan dunia Islam yang lebih luas.
"Kecaman terhadapnya semakin memuncak kerana dia dilihat tidak berani membantah dasar yang secara terang-terangan merugikan Palestin dan mengukuhkan penguasaan Israel di rantau itu," katanya.
Perunding kanan Samirul Ariff Othman berkata memandangkan gaya Trump yang tidak berselindung dan sentiasa berkonfrontasi, pemimpin perlu memperhalusi strategi diplomatik ketika berurusan dengan pentadbirannya.
"Ini bermakna mengelakkan perselisihan pendapat secara terbuka dan memastikan perbincangan dengan AS sejajar dengan pendekatan Trump yang berasaskan transaksi, dan merangka perbincangan mengenai faedah ekonomi dan keselamatan bersama yang menarik minat Trump yang gemar mengadakan perjanjian itu," kata Samirul dari Global Asia Consulting.
Nur Ashikin bagaimanapun berkata Malaysia mesti mengekalkan autonomi strategik dalam dasar luarnya tanpa tunduk kepada tekanan kuasa besar.
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment