Latheefa Koya mengenal pasti pemberi maklumat itu sebagai Albert, yang menyerahkan video penuh dan peranti asal yang digunakan untuk rakaman.
Bekas ketua SPRM Latheefa Koya bersama peguam Zaid Malek menunjukkan alat peranti asal yang digunakan untuk merakam dan menyimpan video membabitkan wakil rakyat kerajaan Sabah, pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya hari ini berkata beliau telah menerima klip video penuh yang tidak disunting melibatkan skandal rasuah lesen mineral Sabah membabitkan ketua menteri dan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri Sabah.
Latheefa yang mengetuai SPRM sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pertama pada Februari 2020, turut mengenal pasti lelaki di sebalik video-video itu sebagai Albert, sambil menyifatkan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk tidak memberikan perlindungan "whistleblower" (pemberi maklumat) kepadanya sebagai memalukan.
"Apakah tindakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab apabila berdepan dengan bukti seperti ini? Ia akan menyiasat secara penuh. Lebih penting lagi, ia akan menjamin perlindungan kepada pemberi maklumat, dalam kes ini Albert.
"Tetapi di Malaysia, amat memalukan kerana ini tidak berlaku," katanya pada sidang media bersama peguam Zaid Malek.
Sejak tahun lalu, portal MalaysiaKini mula mendedahkan siri rakaman video yang diterimanya daripada seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam sebuah projek kerajaan Sabah.
Rakaman-rakaman itu menunjukkan beberapa Adun Sabah membincangkan bayaran mencecah ratusan ribu hingga jutaan ringgit.
Walaupun menulis surat kepada Anwar untuk meminta perlindungan sebagai pemberi maklumat sebelum membuat laporan kepada SPRM, perdana menteri enggan berbuat demikian dengan alasan perlindungan hanya diberikan kepada mereka yang "bersih".
Ia disusuli dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang menyifatkan video telah pun "disunting" menjadikannya tidak cukup kredibiliti untuk digunakan sebagai bukti dalam siasatan kes itu.
Latheefa berkata alasan demikian tidak lagi relevan dengan wujudnya versi penuh video.
"Albert telah memberikan video penuh. Penuh dan tidak disunting," katanya sambil menunjukkan alat peranti yang digunakan untuk merekod video-video tersebut.
"Video-video yang tidak disunting ini tidak pernah didedahkan. Saya dan Zaid telah menonton versi penuh kesemua video. Bukti rasuah yang jelas, dan tiada sebab mengapa tindakan pantas tidak diambil pihak berkuasa," katanya.
Menurutnya, Albert sentiasa bersedia membawa kes tersebut terus untuk perhatian SPRM tetapi berdepan pelbagai halangan termasuk ugutan dari "orang atas".
"Saya mahu membantu menamatkan perdebatan melibatkan kerajaan dan pihak berkuasa, sama ada ada mereka akan mendakwanya atau sama ada akan diberi perlindungan atau sama ada dia bertaraf pemberi maklumat atau tidak, atau sama ada dia melakukannya dengan cara yang betul dan sebagainya.
"Di manakah keutamaan kerajaan? Berbulan-bulan bukti diabaikan," tambahnya.
Latheefa, yang baru-baru ini menyifatkan dakwaan Anwar "memerangi rasuah" sebagai sandiwara politik, berkata pihak berkuasa bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada Albert dan menggunakan keterangannya untuk menangkap pelaku utama.
"Tidak ada kepentingan awam untuk menangkap, mereman atau mendakwanya sementara ikan besar pula melepaskan diri. Tiada kerajaan di dunia yang berbuat demikian.
"Apakah anda fikir rakyat Malaysia mahu melihat Albert ditangkap dan didakwa? Atau apakah orang ramai mahu Albert dilindungi dan keterangannya digunakan untuk mengambil tindakan selepas bukti video yang mungkin skandal rasuah terburuk sejak 1MDB?" soal beliau.
Sementara itu, ditanya sama ada Albert boleh didakwa kerana terlibat rasuah, Latheefa memetik kes korupsi membabitkan Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, yang mana perlindungan diberikan kepada pegawainya Rizal Mansor berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak.
"Tidak perlu mendakwa semua orang. Tetapi anda tumpukan kepada individu yang berkuasa, yang membuat keputusan untuk melakukan jenayah," katanya.
Zaid dalam pada itu memaklumkan, klip video tersebut akan diserahkan kepada SPRM pukul 2 petang ini.
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment