Tumpat: Kedatangan Ramadan sememangnya ditunggu peniaga kuih-muih berikutan tempahan yang diterima berlipat kali ganda berbanding hari biasa sekali gus menjadikan mereka tidak menang tangan di dapur.
Bagi Zanita Mat Ali, 52, yang berniaga kuih-muih tradisional sejak 30 tahun lalu, kuih yang dihasilkan tetap dijual pada harga lama iaitu antara RM3 hingga RM5 sebekas walaupun berlaku kenaikan beberapa bahan mentah.
Dia berkata, selain mengekalkan harga, sukatan bahan mentah juga tidak berubah malah prinsipnya adalah biar untung tidak seberapa, asalkan kuih-muih habis dijual.
Lebih 10 jenis kuih-muih tradisional dihasilkan Zanita dengan dibantu anaknya, Siti Nur Aisyah Asyari, 28, antara kuih jala emas, buah tanjung, tahi itik, sekaya telur, puding gula hangus dan aneka agar-agar.
Zanita berkata, selepas solat tarawih dia sudah mula menyediakan bahan mentah sebelum proses pembuatan dimulakan jam 6 pagi bersama anak perempuan serta menantunya.
"Sekitar jam 10 pagi, semua kuih-muih sudah siap dimasak serta dibungkus dan separuhnya sedia untuk dihantar ke lima gerai manakala selebihnya untuk jualan sendiri di dua tapak di bazar Ramadan di Wakaf Bharu, di sini," katanya.
Dari segi bekalan bahan mentah, dia tidak berdepan dengan masalah kerana dia membeli stok dua minggu sebelum Ramadan.
Memandangkan sebahagian besar kuih muih tradisional yang dihasilkannya banyak menggunakan telur, Zanita sudah mendapatkan kira-kira 12,000 biji telur dari pembekal.
Menurutnya lagi, kuih tradisional yang dihasilkannya tidak hanya dijual di gerai serta bazar Ramadan tapi juga ada yang datang sendiri ke rumah malah turut dihantar ke Lembah Klang menggunakan lori.
"Tiga kali dalam seminggu sepanjang Ramadan, saya akan membekalkan hampir 200 pek campuran tiga kuih tradisional Kelantan iaitu jala emas, buah tanjung serta tahi itik kepada seorang pembekal di Kuala Lumpur.
"Pada hari biasa juga ada tempahan dari luar Kelantan namun sepanjang Ramadan, bilangannya meningkat menyebabkan saya perlu mengupah seorang pembantu untuk pembungkusan," katanya.
No comments:
Post a Comment