Raya terkejut 2026!!
Dalam takwim JAKIM tulis 1 Syawwal 1447 ialah 21 Mac 2026 (Sabtu)... tapi banyak ura-ura kata 1 Syawwal akan jatuh pada 20 Mac 2026 (Jumaat)...
Betul ke?? Macam mana boleh berlaku macam ni??
Saya bagi jawapan pendek dan jawapan panjang. Siapa yg malas nak baca yg panjang boleh baca yang pendek je...😁
JAWAPAN PENDEK:
Anak bulan / hilal Syawwal pada petang 19 Mac 2026 (29 Ramadan 1447) tu kalau ikut perkiraan adalah sangat halus. Belum confirm kita boleh nampak. Sebab tu dalam takwim tulis 1 Syawwal ialah Sabtu 21 Mac 2026. Tapi andai kata hilal Syawwal berjaya dicerap pada petang Khamis tu.. Jumaat kita akan raya!
Kalau tunggu... punya tunggu..punya tunggu...bulan tak muncul-muncul (bak kata P. Ramlee), Sabtu la kita raya.
JAWAPAN PANJANG:
Kita kena tahu bahawa sistem takwim Hijri yang kita pakai ni adalah berdasarkan bulan (Takwim Qomari). Ia berbeza dengan takwim Masihi yang berdasarkan pergerakan matahari (Takwim Syamsi). Dalam Ilmu Falak, penentuan awal bulan Hijrah ni ada beberapa kaedah:
1. Hisab
2. Rukyah hakiki
3. Imkanur Rukyah
TAKWIM HISAB tu maksudnya perkiraan awal bulan Hijrah memang langsung tak tengok hilal. Bulan ni kita kira 30 hari bulan... dan bulan depan kita kira 29 hari bulan.. selang seli.
Kaedah ni la yang sistem convert Tarikh Masihi kepada Tarikh Hijri yang berlambak dalam internet tu dok guna.. dia buat kiraan lump sum je.. bukan 100% ikut tarikh hijri yang actual.
Takwim ni dipanggil Takwim Istilahi...
Tapi kita tak pakai takwim ni untuk penentuan awal bulan Ramadan / Syawwal.. sebab ia tidak selari dengan hadith Nabi SAW,
صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته...
"Puasalah bila kamu lihat anak bulan (Ramadan), dan rayalah bila kamu lihat anak bulan (Syawwal)...".
TAKWIM RUKYAH HAKIKI pula bermaksud kita bergantung 100% kepada anak bulan. Petang 29 hari bulan pada setiap bulan (Takwim Qomari) kita kena mencerap bulan. Kalau hilal kelihatan, esok akan masuk bulan yang baru (1 haribulan). Kalau hilal tidak kelihatan, esok masih bulan yang sama (30 haribulan). Ini kaedah yang asal dalam penentuan awal bulan hijri dalam Islam.
Tapi kita di Malaysia, bukan senang nak nampak hilal ni. Sebab negara kita negara beriklim lembab sepanjang tahun. Sebab kedudukan kita berdekatan dengan garisan khatulistiwa. Langit kita dipenuhi dengan awan hampir sepanjang tahun. Lebih-lebih lagi di kaki langit di mana kita nak mencerap anak bulan. Kalau kaki langit penuh dengan awan, guna la teropong canggih macam mana pun... kita takkan nampak anak bulan tu. Sebab pandangan kita terhalang dengan awan. Walaupun kita tahu sepatutnya petang tu anak bulan memang boleh kelihatan, tapi kita tak dapat nak tengok dia.. So macam mana nak buat? Di situlah datangnya satu lagi kaedah yang kita guna iaitu dinamakan IMKANUR RUKYAH...
IMKANUR RUKYAH ialah kaedah yang kita guna di Malaysia. Maksud Imkanur Rukyah ialah: "Kebolehnampakan Hilal"...
Maksudnya kita tetapkan posisi bulan, yang kalau bulan berada pada posisi itu kebiasaannya kita boleh nampak hilal.
Penetapan posisi bulan (Kriteria Imkanur Rukyah) yang terkini yang sedang kita amalkan di Malaysia sejak tahun 2021 ialah :
1. Altitude Hilal melebihi +3° di atas ufuk ketika matahari terbenam, dan
2. Elongasi Hilal melebihii 6° 24' di atas ufuk ketika matahari terbenam.
Maksudnya kalau posisi bulan tu lengkap syarat-syarat di atas, kita anggap anak bulan memang boleh kelihatan. Penetapan itu dibuat setelah kajian yang mendalam, dan hasil laporan cerapan hilal selama puluhan tahun yang telah direkodkan. Kalau nak tau, Jabatan Falak di negara kita ni, setiap bulan diorang mencerap hilal ni. Bukan Ramadan & Syawwal je.
Jadi kalau petang kita mencerap bulan tu, langit mendung / penuh awan, pandangan kita terhalang dengan awan dan kita langsung tak nampak langit, kita akan anggap anak bulan ada petang tu sebab bulan tu cukup syarat / kriteria yang kita sebut tadi...walaupun kita tak nampak hilal secara actual. Itulah yang dinamakan kaedah IMKANUR RUKYAH.
Saya lupa nak bagitahu yang penetapan tu bukan kita je yang pakai.. tapi negara-negara jiran kita juga pakai penetapan (kriteria hilal) yang sama. Kita panggil negara-negara MABIMS. Singkatan daripada Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Empat negara ini sepakat dengan kriteria hilal tersebut..
Untuk penetapan awal takwim hijri pun sama. Kita guna kaedah Imkanur Rukyah.
Kenapa nak kena susun awal? Sebab banyak perkara kita nak susun sepanjang tahun. Macam-macam event kita nak rancang. Kalau takwim tak keluar awal, susah la kita nak buat perancangan. Sama macam takwim Masihi la. Kita nak tengok takwim setahun lengkap.. nak buat perancangan awal. Sampai takwim / kalendar tahun depan pun kita nak tengok...rancang awai tak kalut orang Kedah kata..
Macamana kita nak keluarkan takwim Hijri awal setahun kalau kita guna kaedah Rukyah Hakiki? Sebab kalau guna kaedah Rukyah Hakiki, kena tengok anak bulan secara actual.... baru boleh kata esok masuk awal bulan baru. Selagi tak nampak hilal, tak boleh nak declare tarikh esok...
Kalau kita guna kaedah Hisab (Takwim Istilahi) semata-mata, setiap bulan kita selang seli.. bulan ni 29 haribulan, bulan depan 30 haribulan.. Kita akan declare bulan tu jumlahnya sebanyak 30 hari, walaupun petang 29 haribulan tu kita nampak hilal.. dah terlalu mengambil mudah pulak...
Disebabkan itu kita guna kaedah Imkanur Rukyah untuk penetapan awal takwim Hijri.. Kita akan kaji data posisi bulan sepanjang tahun.. JUPEM akan keluarkan data bulan dan matahari ni untuk setahun lengkap (ALMANAK). Jabatan Falak akan guna data rasmi tersebut.
Dunia astronomi sekarang dah semakin canggih, posisi bumi, matahari, dan bulan ni kita boleh cek bukan sekadar tahun ni punya sahaja... nak tengok 100 tahun ke hadapan pun boleh. Sebab pergerakan bumi, dan bulan ni hampir konsisten, sebagaimana yang Allah terangkan dalam al-Quran. Lain kali la saya sentuh insya-Allah.
Berbalik kepada penetapan awal Takwim Hijri tadi, JAKIM akan susun tarikh awal bulan baharu berdasarkan kaedah Imkanur Rukyah tadi. Tapi andai kata anak bulan memang kelihatan, kita akan ketepikan kaedah Imkanur Rukyah tu.. kita akan guna kaedah yang asal iaitu Rukyah Hakiki. itu lah yang terjadi pada Raya Mengejut tahun 2022 dulu. Kalau ikut perkiraan, anak bulan petang tu tak cukup syarat Imkanur Rukyah, sebab tu dalam takwim tulis Ramadan sampai 30 hari... Tapi bila mencerap secara actual, boleh nampak anak bulan tu. Terus kita declare esoknya 1 Syawwal.
Untuk tahun 2026 ni, anak bulan pada petang 19 Mac dilihat tidak cukup syarat Imkanur Rukyah. Jadi dalam takwim ditulis 1 Syawwal 1447 adalah 21 Mac 2026.
Tapi.... walaupun petang 19 Mac 2026 tu kedudukan bulan tidak cukup syarat yang ditetapkan di atas, hakikatnya hilal akan sedikit kelihatan dengan garisan yang sangat-sangat halus... tak sampai 0.01% pun daripada saiz bulan yang penuh.
Kalau cek guna app atau perisian astronomi, memang kita boleh nampak garis halus tu. Tapi kalau ketika mencerap bulan di langit yang sebenar, ia tidak semudah itu. Kedudukan bulan sangat rendah dengan ufuk, biasan cahaya matahari...ini semua menjadi cabaran untuk nampak hilal tu. Itu pun kalau langit cerah tak ada awan, kalau kaki langit penuh awan.... melopong je la jawabnya...😅
Petang 19 Mac 2026 nanti, andai kata kita memang betul-betul nampak anak bulan tu, kita akan ketepikan kaedah Imkanur Rukyah yang kita cerita tadi, dan kita akan berpegang dengan kaedah Rukyah Hakiki... kita akan anggap esoknya ialah bulan yang baru iaitu Syawwal. Sebab kaedah Rukyah Hakiki adalah kaedah asal yang disebut dalam hadith yang saya sebut di atas tadi.
Tapi nak tulis siap-siap dalam takwim Hijri yang 1 Syawwal ialah 20 Mac 2026, tak boleh juga. Sebab belum pasti kita boleh nampak anak bulan yang terlalu halus tu. Tak cukup syarat (Kriteria Imkanur Rukyah).
Ada sebahagian negara luar, yang tolak mentah-mentah rukyah hakiki ni. Dia guna kaedah hisab je. Dia tak peduli dah anak bulan ada atau tak ada... rasanya ramai yang tahu negara tu..😅
So kita raya bila sebenarnya? 20 Mac atau 21 Mac? Segalanya bergantung kepada petang 19 haribulan nanti. Adakah kita berjaya nampak anak bulan yang terlalu halus tu atau tidak..
Di bawah saya lampirkan kiraan data hilal Syawwal tahun 2022 dulu dan tahun 2026 ni sebagai perbandingan. Kiraan cara kampung je.. bukan guna data rasmi dari JUPEM.
ANALISA HILAL SYAWWAL 1447H (MAC 2026)
Lokasi: Pulau Perak, Kedah
Lat: 5° 41' 3" U
Long: 98° 56' 20" T
Tarikh: 19 Mac 2026 (29 Ramadan 1447)Waktu: 19:35:01
Altitude hilal: +02° 47' 33.4"
Azimuth hilal: 273° 28' 31.6"
Altitude matahari: -00° 48' 10.03"
Azimuth matahari: 269° 37' 46.4"
Elongasi hilal: 5° 15' 50"
Kriteria Imkanur Rukyah:
1. Altitude Hilal >3° : Tidak cukup syarat
2. Elongasi Hilal >6° 24' : Tidak cukup syarat
Lokasi: Tanjung Atiam, Sabah
Lat: 5° 16' 55"
Long: 119° 15' 15"
Tarikh: 19 Mac 2026 (29 Ramadan 1447)
Waktu: 18:13:46
Altitude hilal: +02° 05' 16.7"
Azimuth hilal: 273° 11' 02.9"
Altitude matahari: -00° 48' 03.4"
Azimuth matahari: 269° 36' 05.7"
Elongasi hilal: 4° 36' 02"
Kriteria Imkanur Rukyah:
1. Altitude Hilal >3° : Tidak cukup syarat
2. Elongasi Hilal >6° 24' : Tidak cukup syarat
DATA HILAL SYAWWAL 2022 (RAYA MENGEJUT)
Lokasi: Tanjung Atiam, Sabah
Lat: 5° 16' 55"
Long: 119° 15' 15"
Tarikh: 1 Mei 2022 (29 Ramadan 144 )
Waktu: 18:09:14
Altitude hilal: +04° 41' 41.6"
Azimuth hilal: 286° 13' 42.9"
Altitude matahari: -00° 49' 05.0"
Azimuth matahari: 285° 16' 50.7"
Elongasi hilal: 5° 35' 46"
Kriteria Imkanur Rukyah:
1. Altitude Hilal >3° : Cukup syarat
2. Elongasi Hilal >6° 24' : Tidak cukup syarat
Lokasi: Pulau Perak, Kedah
Lat: 5° 41' 3" U
Long: 98° 56' 20" T
Tarikh: 1 Mei 2022 (29 Ramadan 144 )
Waktu: 19:30:56
Altitude hilal: +05° 19' 03.2"
Azimuth hilal: 286° 24' 38.4"
Altitude matahari: -00° 49' 01.6"
Azimuth matahari: 285° 18' 51.7"
Elongasi hilal: 6° 14' 04"
Kriteria Imkanur Rukyah:
1. Altitude Hilal >3° : Cukup syarat
2. Elongasi Hilal >6° 24' : Tidak cukup syarat
Kita tengok data hilal Syawwal tahun 2022... tak cukup 100% syarat kriteria Imkanur Rukyah.. tapi bila mencerap, nampak hilal tu.. kadi hasil cerapan hilal tu terus diterima dengan kaedah Rukyah Hakiki dan esoknya diumumkan sebagai 1 Syawwal...
Kalau nak dibandingkan hilal Syawwal pada tahun 2022 dulu, hilal tahun 2026 ni lagi mencabar untuk dilihat.. kalau dulu ketinggian bulan antara +04° hingga +05° di atas ufuk.. tapi tahun ni kedudukan bulan cuma sekitar +02° di atas ufuk barat ketika matahari terbenam. Tak tau la samada kita berjaya nampak atau tidak... tengok la nanti..
Tunggu je la pengumuman daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja...
Agak-agak kaler apa baju beliau kali ni? 😁
Semoga bermanfaat.
Terima kasih.










No comments:
Post a Comment