ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,102 orang daripada 353 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 11 malam tadi.
Ia berbanding 856 mangsa banjir (285 keluarga) yang berlindung di tujuh PPS, setakat jam 5.40 petang tadi.
Empat lagi PPS dibuka pada malam tadi berikutan semakin banyak rumah terjejas akibat banjir.
Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di tiga PPS di daerah Kubang Pasu, Pokok Sena (lima) dan Kota Setar (tiga).
Menurut maklumat laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pokok Sena kini mencecah 652 orang (201 keluarga) di lima PPS berbanding 564 orang (179 keluarga) di empat PPS pada petang tadi.
Daerah Kubang Pasu merekodkan 285 mangsa banjir (102 keluarga) di tiga PPS, manakala Kota Setar mempunyai 165 mangsa banjir (50 keluarga) di tiga PPS.
PPS aktif ketika ini ialah PPS Dewan PPK Lubuk Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Darul Aman di Kubang Pasu.
Seterusnya, PPS Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, SK Bukit Hijau, Masjid Nurul Iman Batu 14 dan Surau Kampung Keda Derang di Pokok Sena.
Di Kota Setar pula, PPS SMK Alor Merah, SMK Kepala Batas dan SK Titi Gajah.
Sementara itu berdasarkan maklumat Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, air tiga sungai di negeri ini masih mencatat bacaan melepasi paras bahaya.
Antara sungai itu ialah Sungai Padang Terap di Kepala Batas di daerah Kubang Pasu, serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar
Kesemua sungai itu menunjukkan trend paras air menaik, setakat ini.
-BuletinTV3
No comments:
Post a Comment