TEMERLOH: Umat Islam diseru untuk sentiasa menginsafi kemaraan musuh yang didalangi oleh gerakan Zionis sedunia di mana sudah meresap masuk dalam setiap sendi kehidupan umat Islam, demikian peringat Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
Ketua Muslimat PAS Malaysia itu berkata, perkara itu terjadi menerusi gaya hidup bangsa terjajah mental dan sehingga lemahnya ummah untuk membantu saudara di Palestin yang sudah dikepung di setiap inci sempadan wilayah mereka.
Sehubungan itu, beliau demi menyeru semua peringkat untuk menghidupkan jihad dan mujahadah dalam setiap detik kehidupan dengan menjadikan perjuangan muslimah Palestin sebagai contoh mithali.
Katanya, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dengan kerjasama Lajnah Hubungan Antarabangsa (LHA) PAS Pusat, PASRelief serta badan bukan kerajaan (NGO/I) telah meletakkan agenda perjuangan Palestin sebagai agenda fokus utama.
“Pembunuhan di Palestin ini adalah impak jangka panjang yang melibatkan serangan pemikiran sekularisme menerusi agenda kolonialisme pasca modernisme dan negara bangsa menerusi pelbagai nama seperti liberalisme, pluralisme, globalisasi, terorisme, Islamophobia, dan sebagainya.
“Ia berpunca akibat daripada jauhnya umat Islam dari menghayati pendidikan akidah di dalam al-Quran dan hadith. Inilah serangan akidah yang terancang dan berterusan berabad-abad lamanya kepada umat Islam yang telah melemahkan jati dirinya dan prinsip perjuangan Islam.
“(Ia) perlu ditangani dari akar umbinya dengan mengikat hati-hati kita dan ummah dengan roh al-Quran sepanjang masa,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Tahunan DMPM Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Justeru, beliau turut mencadangkan kepada Muslimat PAS agar menjayakan gelombang ‘Taufan al-Aqsa’ dengan aktiviti Taufan al-Quran dalam setiap aktiviti yang dirancang sebaiknya oleh Lajnah Pendidikan dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Media Baharu, Jabatan Teknologi Maklumat dan Data Raya serta Lajnah Dakwah.
Katanya lagi, serangan akidah yang terancang dan berterusan berabad-abad lamanya kepada umat Islam telah melemahkan jati diri dan prinsip perjuangan Islam di mana masyarakat perlu diberikan kesedaran secara terpimpin berasaskan prinsip akidah dan perjuangan Islam.
“Pada saat saudara kita di Palestin berhadapan dengan pembunuhan beramai-ramai (genocide) dan berterusan, kita sudah tidak ada masa lagi untuk berseronok dan tenggelam dengan kehidupan hedonisme.
“(Juga) bermewah-mewah sehingga menormalisasikan amalan pembaziran dan diklasifikasikan sebagai rakan syaitan,” ujarnya membacakan firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 9 dan 10. – HARAKAHDAILY 13/9/2024
No comments:
Post a Comment