Pendirian PAS jelas dalam isu ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Datuk Seri Setiausaha Agung PAS semalam. Dari sudut undang-undang, seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah. Itulah pendirian undang-undang dan juga pendirian PAS, sebagaimana penegasan yang telah dikeluarkan. Tindakan terhadap mereka ini tidak boleh menzalimi golongan yang sedang dimanipulasi. Ia tidak bermaksud sama sekali mempertahankan kesalahan yang dilakukan jika benar seperti yang didakwa.
Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama. Kita telah menyaksikan episod yang melibatkan Darul Arqam beberapa puluh tahun yang lalu, diikuti dengan Pertubuhan Rufaqa’ yang membawa modus operandi yang sama. Kini, ia berulang lagi dengan GISBH. Cerita mengenai Yaqazah dan Pemuda Bani Tamim juga muncul, diakhiri dengan persediaan menunggu kedatangan Imam Mahdi.
Kita tidak boleh menafikan jasa Al-Arqam dalam menarik minat masyarakat terhadap Islam suatu ketika dahulu. Perkampungan Sungai Penchala sinonim dengan gerakan ini, seiring dengan dentuman sajak "Sakaratul Maut" yang diputar melalui pelbagai pameran Al-Arqam di seluruh negara pada tahun 1980-an.
Namun, sesiapa yang membaca buku karangan Zabidi Muhammad, "Tersungkur di Pintu Syurga," akan memahami bagaimana keikhlasan ahli-ahli Al-Arqam ini telah dimanipulasi sedikit demi sedikit. Akhirnya, kerajaan terpaksa bertindak mengharamkan gerakan ini, dan beberapa pemimpin dikenakan tahanan serta menjalani proses pemulihan akidah.
Namun, cerita ini tidak berakhir di sini. Ia diikuti dengan gerakan Rufaqa yang juga membawa modus operandi yang sama oleh bekas-bekas pemimpin Al-Arqam. Kini, kita berhadapan dengan GIHB, yang lebih ekstrem dan menakutkan. Manipulasi terhadap kanak-kanak dilakukan secara besar-besaran, sebagaimana kenyataan oleh Ketua Polis Negara. Tindakan ini sama sekali tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh dibiarkan, terutamanya jika dilakukan atas nama agama, sedangkan agama tidak ada kaitan dengan apa yang mereka dakwa.
Sekali lagi kita tidak boleh menzalimi golongan yang sedang dimanipulasi, dan kita juga tidak boleh melepaskan pemimpin-pemimpin atasan mereka yang merupakan manipulator; mereka hidup mewah dengan titik peluh anak-anak yang dijadikan bahan untuk meraih derma.
Mengapa agensi pihak berkuasa agama terlepas daripada memantau gerakan ini begitu lama? Mengapa mereka berjaya mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh, termasuk Perdana Menteri? Secara logiknya, Perdana Menteri tidak mungkin mengetahui secara terperinci mengenai tetamu-tetamu yang berjumpa dengannya; inilah tugas pegawai yang berada di sekeliling pemimpin-pemimpin, termasuk agensi agama yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat sejak lama.
Jika pertemuan itu dilakukan dengan tokoh-tokoh masyarakat yang tidak mempunyai akses kepada pegawai dan maklumat sulit kerajaan, ia boleh diterima. Namun, jika menteri dan Perdana Menteri sendiri menerima kunjungan mereka dengan penuh hormat, kita bimbang ada sesuatu yang tidak kena dalam proses pemantauan oleh pihak berkuasa agama. Ini perlu diteliti dan disiasat tanpa mengambil kira pandangan politik partisan.
Mengapa mereka boleh berkembang sedemikian rupa, mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia dengan kaedah perhambaan moden yang tidak boleh dimaafkan? Kenapa baru hari ini ia menjadi isu yang meletus?
Dari sudut penyelewengan akidah, kali ini kita perlu sampai ke akar umbi. Kita tidak mahu lagi tertipu untuk kali keempat, kelima, atau keenam, sehingga entah berapa kali lagi. Proses pemulihan ini hendaklah dilaksanakan sehingga ke peringkat menyediakan peluang hidup kedua untuk generasi baru yang sudah dibentuk sejak lahir oleh gerakan ini. Jika tidak, kita akan berdepan dengan drama yang sama beberapa tahun lagi dengan modus operandi yang sama.
Ahmad Fadhli bin Shaari
23 September 2024
No comments:
Post a Comment