“Diskaun atau Dijajah? 3 Syarat Amerika yang Cuba Tawan Malaysia dari Dalam”
Kalau hari tu kita dah buat 1 artikel berkenaan "Indonesia Buka Pintu. Amerika Masuk Tanpa Bayar Apa-apa. Percuma!", dan hari ini kita nak bincangkan versi Malaysia pula. Situasinya jauh berbeza. Malaysia belum tunduk tetapi tekanan dari Amerika semakin terasa.
Tahun ini, Amerika menawarkan potongan tarif import ke atas barangan Malaysia. Sekali pandang, tawaran ini nampak lumayan. Diskaun cukai hingga 10 peratus daripada kadar asal 25 peratus mampu bantu eksport negara bersaing.
Namun, setiap tawaran ada harga yang terselindung. Untuk nikmati diskaun tarif ini, Malaysia diminta penuhi tiga syarat utama yang mengundang persoalan besar terhadap kedaulatan negara.
Syarat pertama: membenarkan pemilikan penuh syarikat Amerika dalam sektor strategik seperti telekomunikasi dan tenaga. Kalau syarat ini diterima, syarikat luar boleh pegang sepenuhnya aset yang berkait rapat dengan keselamatan negara. Kita tidak lagi jadi tuan kepada sumber sendiri.
Syarat kedua: tiada lagi sekatan atau tarif terhadap produk Amerika yang memohon pensijilan halal. Sistem halal Malaysia adalah antara paling ketat di dunia, diiktiraf lebih 60 negara, dan dikawal selia JAKIM. Amerika mahu kelonggaran tetapi ia bukan sekadar isu pasaran. Ia soal akidah dan kepercayaan umat Islam.
Syarat ketiga pula berkait dengan tender kerajaan. Amerika mahu penyertaan terbuka sepenuhnya tanpa sebarang keutamaan kepada syarikat tempatan. Jika syarat ini diterima, peluang kontrak mega akan terbuka luas kepada firma luar. Syarikat Bumiputera, usahawan kecil dan pemain industri tempatan akan tenggelam dalam arus saingan tak seimbang.
Menteri MITI, Tengku Zafrul mengesahkan rundingan ini sedang berjalan tetapi Malaysia belum beri sebarang komitmen. Beliau akui syarat yang dikemukakan oleh Amerika sangat berat dan perlu diteliti bersama pemain industri serta pembuat dasar.
Setakat ini, Malaysia enggan tunduk kepada tekanan. Dan hasilnya, kadar tarif masih kekal tinggi. Malaysia tidak diberi potongan seperti negara lain yang sudi “membeli” hubungan baik dengan Amerika.
Namun dalam suasana ekonomi yang mencabar, tekanan politik sebegini bukan sesuatu yang asing. Ini strategi klasik Amerika di bawah Trump: gunakan tarif sebagai senjata, beri ‘gula-gula’ jika negara sanggup gadaikan prinsip.
Negara seperti Indonesia telah terjebak lebih awal. Mereka setuju beli jet Boeing bernilai puluhan bilion dolar demi dapat potongan cukai. Tetapi dalam jangka panjang, siapa sebenarnya untung? Amerika jual barang, Indonesia tanggung beban.
Malaysia sedang diuji. Kita ada pilihan sama ada pertahan maruah atau ikut telunjuk demi kelegaan ekonomi jangka pendek. Tetapi jika kita serahkan sektor strategik, longgarkan pensijilan halal dan buka ruang tender secara total, apa lagi yang tinggal?
Isu ini bukan semata-mata soal perdagangan. Ini soal siapa pegang kunci negara. Apabila pihak asing boleh masuk dan tentukan arah sektor utama, kita sedang undur dari kedudukan sebagai negara berdaulat.
Lebih menggerunkan, tekanan ini dibungkus dalam bentuk tawaran. Kalau pemimpin tidak peka, mungkin mereka nampak ia sebagai peluang. Tetapi pada hakikatnya, ia adalah pintu kepada penjajahan bentuk baharu. Senyap tetapi menyeluruh.
Inilah bentuk kolonialisme era moden. Bukan lagi melalui senjata, tetapi melalui data, ekonomi dan perjanjian. Syarikat luar bukan datang sebagai pelabur semata, tetapi sebagai kuasa penentu dalam dasar dan keputusan negara.
Kita perlu berhati-hati. Malaysia tidak boleh terburu-buru mengejar diskaun sehingga terlepas pandang harga sebenar yang perlu dibayar. Maruah negara tiada gantinya.
Jangan kita ulang sejarah di mana negara dijual sedikit demi sedikit atas nama kemajuan. Apa guna angka eksport meningkat jika yang mengawal ialah orang luar?
Kerajaan perlu bersikap tegas. Rakyat juga perlu celik. Ini bukan masa untuk leka. Kita sedang berdepan dengan tekanan luar yang bijak berselindung di sebalik perjanjian ekonomi.
Dalam dunia pasca-pandemik, kuasa besar seperti Amerika sedang berebut pengaruh. Siapa yang lemah akan mudah dimanipulasi. Malaysia mesti berdiri dengan dasar sendiri, walaupun mahal harganya.
Kerugian 6 atau 10 peratus tarif jauh lebih kecil daripada kehilangan sektor strategik selama-lamanya. Sebab kalau sektor ini sudah tergadai, untuk dapatkannya semula bukan mudah.
Amerika Syarikat terkenal sebagai negara yang tidak pernah berperang tanpa sebab. Sama ada secara ketenteraan mahupun ekonomi, semua langkah mereka berpaksikan kepentingan mutlak negara sendiri. Prinsip mereka jelas: siapa yang tidak bersama, akan ditekan sehingga tunduk.
Inilah pendekatan yang sedang digunakan terhadap Malaysia. Mereka cipta tekanan melalui tarif dan hulur umpan dalam bentuk diskaun. Tetapi diskaun itu datang dengan syarat yang berat sebelah. Ia sama seperti tawaran lintah darat yang senyum sambil cekik darah.
Dalam sejarah moden, kita boleh lihat bagaimana Amerika menjadikan ekonomi sebagai alat dominasi. Iraq ditakluk kononnya kerana senjata pemusnah tetapi realitinya mereka mahukan kawalan terhadap minyak. Libya pula dihancurkan selepas cuba keluar dari sistem dolar dan mencadangkan dinar emas.
Setiap negara yang cuba berdiri sendiri pasti akan ditekan. Bukan sahaja dari segi ketenteraan, malah melalui sekatan ekonomi, manipulasi pasaran saham dan propaganda media. Negara kecil sering dijadikan mangsa kerana mereka dianggap lemah dan mudah tunduk jika diberikan sedikit tekanan.
Amerika juga terkenal dengan perangai ‘beri pinjam, kemudian ambil semua’. Mereka mulakan dengan bantuan pelaburan, kemudian laksanakan syarat ketat melalui syarikat mereka yang beroperasi di negara sasaran. Akhirnya, keputusan dasar negara itu ditentukan oleh kepentingan luar, bukan rakyat sendiri.
Contohnya dalam perjanjian perdagangan seperti TPP sebelum ini. Walaupun kelihatan seperti peluang ekonomi yang terbuka luas, perjanjian sebegini mengandungi klausa-klausa berat sebelah seperti ISDS (Investor-State Dispute Settlement), yang membolehkan syarikat asing menyaman kerajaan negara anggota jika dasar tempatan dilihat menjejaskan keuntungan mereka.
Ini bermaksud, keputusan kerajaan untuk melindungi rakyat atau alam sekitar boleh dianggap sebagai halangan perdagangan, lalu mencetuskan tuntutan undang-undang berbilion ringgit. Akhirnya, kuasa menggubal undang-undang tempatan boleh digugat oleh pelabur luar yang hanya mementingkan pulangan pelaburan.
Inilah bahaya yang sedang menanti Malaysia. Sekiranya kita longgarkan sekatan ke atas sektor strategik, lambat-laun syarikat asing akan jadi pemegang utama. Mereka akan bentuk kartel, kawal pasaran dan akhirnya menetapkan harga serta arah industri tempatan.
Dalam sektor halal pula, Malaysia adalah rujukan global. Amerika mahu kita longgar supaya produk mereka mudah masuk tetapi mereka tidak sanggup penuhi standard yang ditetapkan. Jika kita akur, itu bermaksud kita kompromi dengan kualiti dan kepercayaan umat Islam.
Sistem tender kerajaan juga bukan isu kecil. Dalam dunia pasca-pandemik ini, ekonomi negara sedang bergelut. Jika pintu perolehan dibuka seluas-luasnya kepada luar, banyak kontraktor tempatan akan terkubur. Mereka tidak mampu bersaing dengan gergasi luar yang mempunyai akses teknologi dan modal jauh lebih besar.
Amerika sedar bahawa peperangan hari ini bukan lagi melalui peluru dan senjata. Ia berlaku dalam bentuk data, pelaburan, pensijilan dan perjanjian. Mereka tidak masuk dengan tentera, tetapi dengan syarikat, peguam dan penasihat kewangan.
Kalau Malaysia tidak berhati-hati, kita akan jadi seperti negara-negara Afrika yang akhirnya hilang kawalan terhadap lombong, empangan dan saluran tenaga mereka sendiri. Semua dimiliki pelabur luar yang mengaut untung berjuta tetapi meninggalkan rakyat dalam kemiskinan.
Kita juga perlu sedar bahawa apa yang berlaku hari ini ialah sebahagian daripada rancangan jangka panjang. Mereka tidak mendesak sekaligus tetapi perlahan-lahan mengikis benteng pertahanan dasar negara. Hari ini minta satu sektor, esok mereka minta lebih lagi.
Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan. Pemimpin negara perlu faham bahawa sesetengah tawaran ekonomi sebenarnya berbentuk perangkap. Ia mungkin nampak menguntungkan sekarang tetapi membawa kerugian besar untuk generasi akan datang.
Malaysia tidak boleh menjadi negara yang dijual melalui perjanjian dan diskaun tarif. Kedaulatan tidak ternilai dengan ringgit atau peratus cukai. Ia perlu dijaga dengan prinsip dan ketegasan, bukan dengan mengikut tekanan luar.
MasyaAllah. Marilah kita doakan agar Malaysia terus teguh mempertahankan kedaulatan walaupun diasak dari pelbagai penjuru. Semoga pemimpin kita sentiasa diberikan hidayah dan keberanian untuk berkata tidak terhadap penjajahan bentuk baharu ini.
___
No comments:
Post a Comment