CEBISAN SEJARAH: PILIHAN RAYA UMUM 1955, RAMLAH BT. DAHLAN & SUDIRMAN HAJI ARSHAD
1. Poster calon Perikatan, pilihan raya umum 1955 (pilihan raya umum sebelum Tanah Melayu menjadi negara bangsa).
2. Allahyarhamah Puan Ramlah binti Dahlan menjadi calon parti Perikatan (UMNO) bagi kawasan mengundi Temerloh Selatan, Pahang.
3. Puan Ramlah antara Kaum Ibu UMNO yang terawal dipilih menjadi calon bagi mewakili Perikatan yang menyertai pilihan raya 1955.
4. Pilihan raya ini turut disertai oleh parti-parti seperti Pan Malayan Islamic Party (PMIP)¹, Socialist Front², Parti Negara dan lain-lain.
5. Puan Ramlah ialah ibu kepada Allahyarham Dato' Sudirman Hj Arshad, Penghibur Nombor 1 Asia yang juga digelar Seniman Rakyat.
6. Maka tidak hairanlah jika Dato' Sudirman memiliki semangat patriotik yang begitu tinggi.
7. Beliau sebenarnya mewarisi jiwa perjuangan ibunya.
8. Semangat patriotik Dato' Sudirman banyak diterjemahkan dalam lagu-lagunya yang berunsur kenegaraan seperti Warisan, Tegakkan Bendera Kita, Tanggal 31 Ogos, Chow Kit Road dan sebagainya.
9. Bagaimana tingginya jiwa patriotik Sudirman, apabila beliau pernah memujuk Ketua Polis Kuala Lumpur, Allahyarham Datuk Zaman Khan (kemudian bergelar Tan Sri) untuk membenarkan beliau melaksanakan konsert di Jalan Chow Kit.
10. Zaman Khan, pada peringkat awalnya tidak bersetuju dengan idea Sudirman dan membantah keras.
11. Kata Zaman Khan kepada Sudir, "You gila ke Sudirman. Kalau saya tutup semua persimpangan utama, kesesakan akan bermula."
12. Jawab Sudirman, "Takdelah Datuk. I only have this one dream, i want to do this for my people."
13. Sudirman memujuk Zaman Khan lagi, "Pleaselah, you are the only person between my dreams and what i want to achieve."
14. Zaman Khan akhirnya akur dengan keinginan 'gila' dan permohonan Sudirman.
15. Setelah berbincang dengan ketua trafik, Zaman Khan memberi syarat tertentu yang perlu dipatuhi Sudirman dan kumpulan produksinya.
16. Melalui konsert terbukanya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur, Sudirman mahu menunjukkan kepada tetamu dan pelancong luar negara yang membanjiri Malaysia sempena Persidangan PATA (Pasific Asia Travel Association)³ ke-35, dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah.
17. Sudirman mahu mempamerkan wajah Malaysia yang sebenar kepada tetamu negara luar melalui lagu-lagu yang disampaikannya.
18. Begitulah secebis kisah, Sudirman dan ibunya. Semoga roh mereka dirahmati Allah SWT.
______________________
¹ PMIP kemudiannya dikenali dengan nama PAS.
² Socialist Front juga dikenali sebagai Barisan Sosialis.
³ PATA berlangsung pada 9 hingga 16 April 1986.
______________________________________________
Sumber:
1. Datin Rudiah Bt. Arshad, 2019, Poster Calon Perikatan - Ramlah Bt Dahlan (Printed by The China Press, Ltd. Kuala Lumpur and Published by Che' Othman Awang).
2. Saodah Ismail, 2019, SUDIRMAN yang ku kenali, Kuala Lumpur: Khutubkata Resources.









No comments:
Post a Comment