CEBISAN SEJARAH: YUSOFF RONO - PASCA TRAGEDI BUKIT KEPONG
1. Konstabel 7645 Yusoff Rono adalah salah seorang anggota polis yang terselamat dalam peristiwa bersejarah Bukit Kepong 1950.
2. Selain beliau, anggota yang terselamat ialah Konstabel Tambahan 3472 Ahmad Khalid, Konstabel Marin 37, Abu Bakar Daud dan Konstabel 10533 Othman Yusoff.
3. Selepas berlakunya peristiwa bersejarah itu, enam bulan kemudian, selepas pulih dari kecederaan teruk, Yusoff kembali bertugas. Seolah-olah peristiwa tembak-menembak yang dahsyat itu berlalu begitu sahaja.
4. Antara 1951 hingga 1957, Yusoff bertugas di beberapa Balai Polis di sekitar Johor seperti Muar, Pagoh, Parit Jawa, Kahang dan Kluang.
5. Pada tahun 1954, beliau telah dinaikkan pangkat Koperal dan bertugas sebagai OCS.
6. Sekitar 1958 hingga 1961, Yusoff Rono dihantar bertugas sebagai OCS di beberapa balai sekitar Pahang seperti Kuantan, Gambang dan Pekan.
7. Pada tahun 1962, Yusoff diarah bertugas sebagai OCS di Balai Polis Gua Musang, Kelantan - sebuah kawasan pedalaman di Kelantan yang juga terkenal sebagai sarang komunis.
8. Di Gua Musang, beliau hanya bertugas selama setahun sahaja. Ini kerana kekangan masalah persekolahan anaknya yang terpaksa keluar rumah jam 5 pagi untuk menaiki kereta api ke sekolah di Kuala Krai dan tiba di rumah pada lewat malam. Beliau kemudian telah memohon pertukaran untuk membolehkan anak-anaknya bersekolah dengan lebih selesa.
9. Beliau akhirnya ditukarkan bertugas di tempat baharu iaitu di Balai Polis Temangan, Kelantan pada tahun 1963.¹
10. Temangan adalah sebuah pekan kecil yang maju dan sibuk pada ketika itu.
11. Selain dihuni oleh orang Melayu, juga terdapat ramai kaum Cina yang menjalankan perniagaan di sini.
12. Di pekan ini, terdapat stesen kereta api yang sudah mula beroperasi sejak sebelum merdeka.
13. Di Balai Polis Temangan, Yusoff Rono mendalami ilmu agama dan sering kali berkunjung ke masjid, melakukan kerja-kerja amal termasuk membersihkan masjid di Temangan, membelikan sejadah dan keperluan masjid.
14. Keadaan itu membuatkan penduduk Temangan amat menyenangi sikapnya dan menyayangi Yusoff Rono.
15. Namun, khidmat bakti Yusoff Rono di Temangan hanya bertahan selama setahun sahaja.
16. Pada akhir 1964, Yusoff ditukarkan bertugas di Balai Polis Tanah Merah, dan ini adalah balai terakhir Yusoff di Kelantan.
17. Beliau kemudiannya ditukarkan ke Melaka pada tahun 1966 sehingga bersara pada 1 Oktober 1977.
18. Yusoff adalah antara sumber utama, terbabit secara langsung dalam proses pengumpulan semula bahan serta maklumat mengenai kejadian serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong 23 Februari 1950, yang dilakukan oleh Ismail Johari sekitar tahun 1970-an.
19. Yusoff juga turut memberi kerjasama kepada Tan Sri Jins Shamsudin, pengarah filem Bukit Kepong, dengan memberikan gambaran kejadian serangan bagi membolehkan Jins mengarahkan filem tersebut pada akhir 1970-an dan ditayangkan pada 1981.
20. Semoga rohnya, mereka yang telah pergi, dicucuri rahmat dan berada dalam kalangan orang beriman.
_______________________
¹ Gambar - Yusoff Rono bersama anak-anaknya ketika bertugas di Balai Polis Temangan, Kelantan.
______________________________________________
Sumber:
1. Ismail Johari, 2008 (Cetakan Kesembilan Edisi Pelajar), Bukit Kepong, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Muhammad Zaidee Daut (penyunting Ramlah Adam), 2005, Wira Bukit Kepong - Yusoff Rono, Melaka: IKSEP.
Teks: Ezeri Layang Puteh
23 Februari 2026










No comments:
Post a Comment