SEREMBAN,— Seramai 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) difahamkan telah menandatangani akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Jalaluddin Alias sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Sumber memberitahu, akuan bersumpah itu membabitkan 14 ADUN BN dan lima ADUN PN, sekali gus membentuk sokongan majoriti 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Jalaluddin yang juga ADUN Pertang merupakan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan dan EXCO Kanan kerajaan negeri.
Menurut sumber, akuan bersumpah itu akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat sebagai bukti bahawa Aminuddin tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ADUN.
Langkah itu juga dilihat bakal menghilangkan dakwaan bahawa Datuk Seri Utama Aminuddin Harun masih boleh terus bertindak sebagai Menteri Besar minoriti.
Ini kerana, dengan 19 ADUN secara bertulis menyokong Jalaluddin sebagai Menteri Besar baharu, blok BN-PN kini mempunyai kelebihan majoriti mudah berbanding Pakatan Harapan (PH) yang hanya memiliki 17 kerusi.
Senarai 14 ADUN BN yang menyokong Jalaluddin terdiri daripada Jalaluddin Alias (Pertang), Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Mustapha Nagoor (Palong), Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Mohd Asna Amin (Lenggeng), Bibi Sharliza Mohd Khalid (Juasseh), Muhammad Sufian Maradzi (Seri Menanti), Ismail Lasim (Senaling), Saiful Yazan Sulaiman (Johol), Zaifulbahri Idris (Chembong), Mohamad Hasan (Rantau), Suhaimi Aini (Kota), Mohd Faizal Ramli (Linggi) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Lima ADUN PN pula ialah Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting), Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu), Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).
Terdahulu, lima ADUN PN Negeri Sembilan mengumumkan kesediaan bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu, dengan surat kerjasama diserahkan kepada wakil BN, Datuk Mustapha Nagoor yang juga ADUN Palong.
Perkembangan itu menyusul selepas 14 ADUN BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis kepimpinan kerajaan negeri yang semakin meruncing.
Dengan akuan bersumpah tersebut, kedudukan Aminuddin dijangka semakin sukar dipertahankan kerana isu utama kini bukan lagi sekadar sama ada beliau mahu terus mengetuai kerajaan minoriti.
Sebaliknya, persoalan lebih besar ialah sama ada beliau masih mempunyai asas politik untuk kekal sebagai Menteri Besar apabila majoriti ADUN telah menyatakan sokongan kepada calon lain.
Dalam sistem demokrasi berparlimen, seseorang Menteri Besar perlu mempunyai sokongan majoriti ADUN untuk terus mengetuai kerajaan negeri.
Sekiranya 19 akuan bersumpah itu dikemukakan secara rasmi, ia akan menjadi asas politik penting untuk menunjukkan bahawa Jalaluddin mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
Keadaan itu juga meletakkan tekanan kepada Aminuddin sama ada untuk meletakkan jawatan atau berdepan proses peralihan kuasa mengikut kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Perkembangan terbaharu ini sekali gus membuka fasa baharu krisis politik Negeri Sembilan, apabila BN dan PN bukan sahaja menarik sokongan terhadap pentadbiran sedia ada, tetapi turut menamakan Jalaluddin sebagai calon Menteri Besar baharu. – SuaraTV










No comments:
Post a Comment