DALAM DIAM PRESIDEN BERI RESTU TAPI “DEHEM” DAP RENCATKAN DRAMA 14 ADUN BN NEGERI SEMBILAN
Oleh DR KHALID HAMKA
Dalam politik, “kebetulan” hanyalah nama lain bagi perancangan yang gagal disempurnakan. Langkah 14 ADUN BN menarik sokongan di Negeri Sembilan jelas bukan tindakan spontan, sebaliknya satu percaturan yang tersusun dan akhirnya tersangkut di tengah jalan.
Lebih sulit untuk dinafikan apabila tindakan itu dikaitkan dengan pengetahuan Presiden Ahmad Zahid Hamidi. Dalam struktur UMNO, mustahil gerakan sebesar ini berlaku tanpa restu pusat. Tambahan pula, penglibatan salah seorang 14 ADUN ialah Dato Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden menguatkan lagi hakikat bahawa ini bukan gerakan negeri semata-mata. Tindakan pula, ketika beliau berada di luar negara, seolah-olah satu “pengurusan persepsi” untuk menjarakkan keterlibatan pimpinan tertinggi.
Ironinya, tiada tindakan disiplin diambil. Jika PAS boleh bertindak tegas di Perlis, mengapa UMNO memilih diam? Jawapannya mudah ini bukan krisis disiplin ahli, ini agenda sulit komplot dalaman.
Langkah ini sebenarnya ujian tekanan terhadap Pakatan Harapan. UMNO cuba menghantar mesej, mereka masih mampu menggugat. Namun realiti kuasa hari ini berkata sebaliknya. “Dehem” daripada Democratic Action Party sudah cukup untuk menghentikan seluruh operasi. Tanpa ancaman terbuka, tanpa retorik keras, UMNO terus menarik brek.
Di sinilah wajah sebenar PHBN terserlah. Bukan gabungan setara, tetapi hubungan yang sarat ketidakseimbangan. UMNO cuba menggertak, tetapi akhirnya tunduk. DAP pula tidak perlu bertindak cukup dengan isyarat untuk menentukan hala tuju.
Apabila percaturan gagal, naratif segera dialihkan kepada Perikatan Nasional. Ini bukan penjelasan, tetapi “damage control” atau dalam bahasa politik tempatan, ‘taichi’. Tujuannya jelas, lindungi pimpinan, kaburkan peranan sebenar.
Kesan episod ini lebih besar daripada sekadar krisis negeri. Ia membuka retakan dalam PHBN. Kepercayaan makin tipis, serangan penyokong sesama sendiri makin terbuka. Lebih parah, rakyat melihat sebuah kerajaan yang sibuk bermain catur kuasa ketika kos sara hidup terus menghimpit.
Kesimpulannya, ini bukan sekadar kegagalan strategi, tetapi ini realiti PHBN bukan gabungan stabil, tetapi kompromi rapuh yang dikawal oleh imbangan kuasa tersembunyi. UMNO tersilap langkah, DAP akan terus menang, dan rakyat terus menjadi penonton kepada drama elit politik.
Persoalannya kini, sampai bila rakyat mahu dipermainkan? PRU akan datang bukan sekadar pilihan politik, tetapi peluang menghukum sebuah gabungan yang lebih sibuk mengurus kuasa daripada mengurus negara.
PENGANALISA POLITIK
ALOR SETAR











No comments:
Post a Comment