Kisah Lamine Yamal yang kita nampak hari ini bukan sekadar cerita budak ajaib yang tiba-tiba meletup di Barcelona.
Di sebalik kilauan trofi Euro 2024 dan pujian melambung dunia, ada satu plot tebal yang ramai orang terlepas pandang. Kisah perjuangan tiga generasi imigran yang bermula dengan sekeping tiket bas.
Sebelum nama Lamine Yamal meniti di bibir peminat bola sepak dunia, ada seorang wanita cekal bernama Fatima — nenek kepada Lamine.
Beliau meninggalkan Maghribi sehelai sepinggang menuju ke Catalonia. Dengan modal wang yang hanya cukup-cukup untuk tambang bas, Fatima memulakan hidup baru dengan bekerja di tapak perkhemahan dan kemudiannya di rumah penjagaan orang-orang tua.
Fatima mempunyai satu misi besar: memastikan masa depan keluarganya lebih baik. Berkat kegigihannya, beliau membawa keluarganya datang ke Sepanyol seorang demi seorang.
Bermula dengan anak sulungnya, Abdul, dan kemudian anak keduanya, Munir. Mereka sekeluarga menetap di Rocafonda, sebuah kawasan kejiranan di pinggir Barcelona yang dibina untuk menempatkan keluarga imigran.
Di sinilah segalanya bermula. Ketika meningkat remaja, Munir bertemu dengan Sheila, seorang wanita yang berhijrah dari Guinea Khatulistiwa demi mencari peluang hidup yang lebih baik.
Namun, kehidupan awal pasangan ini tidak mudah. Mereka bergelut dengan masalah kewangan sehinggakan tidak mampu membayar sewa rumah.
Ketika fasa sukar itu, muncul dua orang sahabat baik mereka bernama Lamine dan Yamal.
Kebaikan dua sahabat inilah yang menyelamatkan Munir dan Sheila daripada terus terhimpit.
Disebabkan tiada apa-apa harta untuk membalas budi, Munir dan Sheila menabur satu janji: "Jika kami dikurniakan anak lelaki, kami akan namakan dia sempena nama kamu berdua, Lamine dan Yamal."
Pada Julai 2007, janji itu ditunaikan dengan lahirnya Lamine Yamal Nasraoui Ebana.
Enam bulan selepas Lamine dilahirkan, satu 'kebetulan' yang aneh telah berlaku. Barcelona mengadakan satu cabutan bertuah amal, di mana ibu bapa yang terpilih berpeluang membawa bayi mereka untuk sesi fotografi amal.
Sheila mencuba nasib, dan nama Lamine Yamal dipilih secara rawak!
Apa yang lebih magis, pemain Barcelona yang ditugaskan untuk bergambar dengan bayi Lamine pada hari itu ialah Leo Messi — yang ketika itu baru berusia 20 tahun dan belum pun memenangi sebarang trofi Ballon d'Or.
Siapa sangka, foto ikonik Messi sedang memandikan Lamine kecil itu kini menjadi sebahagian daripada sejarah besar bola sepak.
Namun, langit tidak sentiasa cerah. Ketika Lamine baru berusia tiga tahun, ibu bapanya berpisah. Lamine mengikut ibunya berpindah ke utara Catalonia. Ibunya bekerja keras menyara hidup dengan bekerja di McDonald's.
Di sinilah takdir Lamine berubah lagi apabila seorang rakan sekerja ibunya perasan minat Lamine terhadap bola sepak dan berkata, "Kalau Lamine minat bola, bawalah dia ke kelab bola sepak yang diuruskan oleh ayah saya."
Pada usia seawal 4 tahun, Lamine mula turun ke padang bersama pasukan Lateretta. Walaupun tubuhnya kecil, bakat semula jadinya sangat ketara — gol demi gol dijaringkan dengan mudah.
Menjelang usia 6 tahun, pencari bakat Barcelona tidak menunggu lama untuk menyerapnya masuk ke akademi terkemuka, La Masia.
Di La Masia, perkembangan Lamine tersangat laju. Dia melangkaui kumpulan umurnya sendiri, malah sering bermain menentang pemain yang 2 atau 3 tahun lebih tua daripadanya.
Pada usia 15 tahun, ketika remaja lain sibuk dengan urusan sekolah, Lamine sudah dipanggil berlatih dengan pasukan utama Barcelona di bawah kendalian Xavi Hernandez, membuat debut rasmi menentang Real Betis, dan diserap masuk ke skuad bawah 17 tahun Sepanyol.
Selepas debut itu, kariernya memecut umpama roket. Dia disenaraikan dalam skuad Sepanyol untuk Euro 2024, memecah rekod sebagai pemain termuda membuat penampilan dan menjaringkan gol, malah membantu negaranya menjulang trofi tersebut selain dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Kejohanan.
Bayangkan, sebelum mencecah usia 18 tahun, Lamine sudah mengumpul lebih 70 penampilan dalam La Liga — satu pencapaian yang hanya mampu dibuat oleh Messi ketika berusia 20 tahun!
Ramai peminat bergurau kononnya Messi telah 'memindahkan kuasanya' kepada Lamine sewaktu sesi foto 17 tahun lalu. Malah, bapa Lamine sendiri pernah berseloka dengan menyatakan kemungkinan Lamine yang memberikan berkat kepada Messi pada waktu itu.
Sama ada Lamine akan menyamai atau mengatasi tahap kehebatan Messi, itu cerita masa depan.
Namun apa yang pasti, anak muda ini telah mengubah nasib seluruh keluarganya buat selama-lamanya.
Dia kini sudah mampu membelikan rumah baru untuk kedua-dua ibu bapanya, termasuk neneknya, Fatima — wanita cekal yang pernah menaiki bas sehelai sepinggang demi sebuah impian yang kini menjadi realiti.










No comments:
Post a Comment