Pernah tak kita terfikir, bagaimana pandangan mata seorang anak kecil sekelip mata boleh menyelamatkan ratusan nyawa dan mengubah takdir hidup seorang ayah?
Ini kisah benar tentang Richard McKinney, seorang bekas tentera marin Amerika Syarikat.
Dia sertai tentera seawal usia 18 tahun untuk lari daripada zaman mudanya yang bermasalah.
Dia dah lalui macam-macam operasi perang besar dari Panama, Desert Storm, Somalia, sehinggalah ke Iraq.
Pada tahun 2006, semasa bertugas di Ramadi, Iraq, satu kejadian ngeri berlaku.
Sebuah bom buatan sendiri (IED) bersaiz besar meletup di bawah bangunan tempat dia berada, menyebabkan tubuhnya tercampak melintasi jalan.
Richard terselamat, tapi dia mengalami kecederaan kekal dan trauma (PTSD) yang sangat parah.
Bermula dari situlah, rasa trauma tu bertukar menjadi kemarahan dan dendam yang amat mendalam.
Dia menyalahkan seluruh umat Islam atas kecederaan yang dia alami. Bagi dia, semua orang Islam adalah musuh.
Dendam tu bukan setakat mainan perasaan. Selama tiga tahun, Richard kumpul barang sikit demi sikit dan bina sebuah bom kat rumah dia.
Dia buat risikan dekat sebuah Pusat Islam di Muncie, Indiana.
Rancangan dia kejam dia nak letupkan masjid tu pada hari Jumaat dalam bulan Ramadan untuk pastikan jumlah korban paling maksimum.
Malah, dia dah bersedia untuk ditangkap dan dihukum mati atas perbuatan tu.
Tapi, rancangan tiga tahun tu runtuh disebabkan satu kejadian di rumah.
Satu hari, Richard balik ke rumah dalam keadaan marah yang amat sangat.
Dia maki hamun dengan perkataan perkauman yang kesat pasal seorang budak Islam di sekolah anak perempuannya.
Masa dia tengah mengamuk tu, dia terpandang mata anak perempuan dia yang baru berusia 7 tahun.
Anak dia pandang dia dengan penuh rasa risau dan seolah-olah sedang menghakimi perbuatan ayahnya.
Saat itu, Richard tersentak. Dia sedar dia tak ada sebarang bukti yang kukuh untuk terangkan dekat anak dia kenapa dia perlu benci sangat pada orang Islam.
Disebabkan nak cari 'bukti' yang kononnya orang Islam ni memang jahat supaya dia boleh justify kebencian dia pada anaknya, Richard nekad pergi ke masjid tersebut.
Dia masuk ke masjid dengan berpura-pura kononnya nak belajar pasal Islam. Tapi sebaliknya yang berlaku.
Orang masjid sambut dia dengan sangat mesra, jauh dari apa yang dia bayangkan.
Sebelum balik, mereka siap hadiahkan dia sebuah naskhah Al-Quran untuk dibaca kat rumah.
Balik ke rumah, Richard mula baca Al-Quran.
Dia bandingkan setiap bait ayat yang dia baca dengan akhlak komuniti masjid yang melayaninya dengan baik di Indiana.
Lama-kelamaan, dia sedar bahawa golongan ekstremis yang dia lawan di medan perang dahulu adalah wakil yang sangat buruk bagi agama yang suci ini.
Islam yang sebenar adalah kedamaian.
Dalam tempoh dia bergelut dengan pemikiran sendiri tu, Richard mula mendapat mimpi yang pelik tapi simbolik.
Dia kerap bermimpi melihat sekeping kertas sasaran menembak di lapang sasar yang sedang berdarah.
Mimpi tu buatkan dia tersedar satu hakikat yang besar. Dia sedar bahawa selama dia hidup dalam dendam dan kebencian, jiwa dia dah lama 'mati'.
Dan saat dia mula melembutkan hati menerima kebenaran Al-Quran, dia dapat rasakan satu perkara:
“My humanity is back." (Kemanusiaan aku dah kembali).
Islam telah memulangkan semula sifat kemanusiaan yang telah lama hilang dalam dirinya.
Richard akhirnya membuang terus rancangan bomnya, kembali ke masjid, dan melafazkan dua kalimah syahadah.
Selepas itu, isteri dan anak perempuannya juga turut memeluk Islam.
Cerita Richard tak habis di situ. Selepas dia dah lama masuk Islam dan menyambung pengajian di kolej, dia ada berkongsi kisah silamnya ini dengan seorang profesor.
Salah seorang rakan sekelasnya yang terdengar cerita tu rasa takut lalu melaporkan Richard kepada pihak FBI.
Pihak FBI datang menyiasat, tapi memandangkan Richard dah lama lupuskan bom tersebut dengan selamat bertahun-tahun sebelum itu, kes tersebut ditutup kerana tiada lagi ancaman.
Namun, rahsia kisah silam dia yang nak bom masjid tu akhirnya tersebar luas di berita. Masa tu Richard rasa takut. Dia takut komuniti masjid akan benci dan halau dia.
Tetapi apa yang keluarga pengasas masjid tu buat? Mereka jemput Richard datang ke rumah untuk makan malam bersama.
Di meja makan, Richard menangis dan mengaku segala kesalahan dan niat jahat dia dulu.
Respons daripada orang masjid? Mereka tidak marah. Mereka peluk Richard dan memaafkan segala kisah silamnya.
Tindakan luar biasa komuniti masjid itu membuatkan Richard semakin menghargai dan kagum dengan keindahan didikan Islam yang sebenar.
Begitulah sekmung
Kisah Richard Marini ni adalah bukti besar tentang keagungan hidayah Allah.
Dia datang ke masjid nak cari alasan untuk membenci, tapi pulang membawa cinta kepada Al-Quran.
Ia juga menjadi saksi dan peringatan penting untuk kita semua bahawa Islam itu tersebar ke seluruh pelosok dunia, termasuklah ke tanah air kita sendiri, melalui kelembutan akhlak dan kedamaian, bukannya dengan mata pedang atau peperangan.
Kebencian dalam hati Richard yang gagal dipadamkan oleh peluru dan trauma perang, akhirnya lebur dan cair hanya disebabkan pandangan mata seorang anak kecil yang jujur, dan sifat pemaaf daripada sebuah komuniti yang berlapang dada.
Kita tidak tahu, mungkin dengan sekecil-kecil sifat terbuka dan layanan baik kita menyantuni orang yang salah faham tentang agama kita hari ini, mampu memulangkan semula 'kemanusiaan' dalam diri seseorang dan menyelamatkan dunia daripada kehancuran.










No comments:
Post a Comment