IJN, INSTITUSI YANG LAHIR SELEPAS PEMBEDAHAN TUN M JADI TEMPAT TERAKHIR BERSAMA TUN SITI HASMAH
Oleh: Azizul Farhan
Semalam, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN).
IJN sebenarnya mempunyai satu sejarah yang cukup dekat dengan Tun Dr Siti Hasmah dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ceritanya bermula pada malam 17 Januari 1989.
Tun Dr Mahathir ketika itu masih Perdana Menteri. Selepas mengalami sakit dada dan sesak nafas, beliau dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur, sekarang dikenali sebagai Hospital Kuala Lumpur.
Datuk Dr Robaayah Zambahari mengesahkan Tun Mahathir mengalami serangan jantung dan memberikan suntikan untuk mengurangkan kesakitan. Keadaannya cukup serius sehingga Dr Robaayah meminta Tun Dr Siti Hasmah menghubungi semua anggota keluarga mereka. Tun Ghafar Baba yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri turut dimaklumkan mengenai keadaan Tun Mahathir.
Tun Mahathir kemudiannya perlu menjalani angiogram untuk melihat keadaan saluran darah jantungnya.
Pilihan yang diberikan kepadanya ketika itu sama ada menjalani rawatan di Kuala Lumpur atau diterbangkan ke Amerika Syarikat.
Tun pilih Kuala Lumpur.
Keputusan itu bukan perkara kecil pada 1989. Tun Mahathir sendiri kemudian menceritakan bahawa ketika itu masih ramai orang kenamaan Malaysia yang lebih yakin mendapatkan rawatan di luar negara. Kalau beliau sendiri sebagai Perdana Menteri memilih untuk terbang ke Amerika sedangkan doktor Malaysia mengatakan mereka mampu melakukan pembedahan tersebut, sukar untuk meminta orang lain yakin kepada kepakaran tempatan.
Antara nama yang Tun Mahathir tahu ketika itu ialah Dr Rozali Wathooth, pakar bedah yang sebelum itu sudah melakukan pembedahan pintasan koronari di Hospital Besar Kuala Lumpur. Dr Rozali bagaimanapun sudah berada di Subang Medical Centre.
Di HKL pula ada Dr Yahya Awang.
Akhirnya pembedahan Tun Mahathir dilakukan oleh pasukan pakar tempatan yang melibatkan Dr Yahya bersama Dr Lee Weng Seng, Dr Abdullah Harun dan Dr Rozali Wathooth. Bahagian kardiologi pula melibatkan Dr Robaayah Zambahari dan Dr Zainol Hamid. Mereka turut dibantu pakar bius, pegawai perubatan, jururawat, pembantu perubatan dan juruteknik HKL.
Tapi sebelum pembedahan itu dilakukan, berlaku satu lagi cerita yang melibatkan Tun Dr Siti Hasmah secara langsung.
Pada malam sebelum pembedahan, Lee Kuan Yew yang ketika itu Perdana Menteri Singapura menghubungi Tun Dr Siti Hasmah.
Tun Mahathir sudah diberikan ubat sebagai persediaan untuk pembedahan dan sedang tidur. Lee meminta Hasmah memujuk suaminya supaya menangguhkan operasi kerana beliau sudah mengatur sebuah pasukan perubatan untuk datang ke Kuala Lumpur bersama Dr Victor Chang.
Victor Chang ketika itu merupakan pakar bedah jantung terkenal yang berpangkalan di Australia. Lee juga menghubungi Tun Daim Zainuddin dalam usaha mendapatkan persetujuan supaya pembedahan ditangguhkan.
Hasmah bagaimanapun memberitahu bahawa suaminya sudah membuat keputusan.
Tun Mahathir mahu doktor Malaysia membedahnya.
Allahyarhamah berterima kasih atas tawaran Lee, tetapi keputusan keluarga adalah untuk menghormati kehendak Tun Mahathir.
Tun Mahathir pula memang tahu apa yang bakal berlaku kepada tubuhnya kerana beliau sendiri seorang doktor.
Beliau pernah bercerita bagaimana beliau bertanya kepada Dr Yahya mengenai cara dadanya akan dibuka. Jawapannya cukup untuk membuatkan beliau berhenti bertanya.
Gergaji elektrik.
Tun Mahathir kemudian bergurau bahawa selepas mendengar jawapan itu, beliau tidak mahu tahu apa-apa lagi. Pengetahuan seorang doktor kadang-kadang membuatkan pembedahan terasa lebih menakutkan kerana beliau tahu tulang dadanya akan dibelah, jantungnya dihentikan sementara dan pasukan bedah akan bekerja pada jantung tersebut.
Pada 24 Januari 1989, pembedahan pintasan koronari Tun Mahathir dilakukan di Hospital Besar Kuala Lumpur.
Pembedahan itu berjaya dan Tun selamat.
Namun pengalaman sebagai pesakit membuatkan beliau nampak sendiri satu masalah yang ketika itu sudah lama dihadapi doktor tempatan.
Malaysia ada doktor yang boleh melakukan pembedahan jantung. Masalah besar ketika itu ialah kemudahannya.
Sebelum IJN diwujudkan, pembedahan jantung tertumpu di HKL. Kemudahan yang ada hanyalah sebuah dewan bedah dan enam katil ICU sedangkan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan semakin ramai. Senarai menunggu untuk sesetengah rawatan pernah menjadi begitu panjang sehingga mengambil masa bertahun-tahun.
Selepas Tun Mahathir sembuh, doktor yang merawatnya membawa satu cadangan.
Daripada terus bergantung kepada satu bahagian di Hospital Besar Kuala Lumpur, Malaysia perlukan sebuah pusat khas yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyakit jantung.
Tun Mahathir sendiri kemudian menceritakan bagaimana doktor memberitahunya bahawa kemudahan mereka tidak mencukupi. Beliau membawa perkara itu kepada kerajaan dan peruntukan diberikan untuk mewujudkan pusat jantung tersebut.
Sebenarnya sejarah rawatan jantung moden di HKL sudah bermula lebih awal.
Pada 1977, Dr Nik Zainal Abidin mempelopori perkhidmatan kardiologi kerajaan. Pada 1982, perkhidmatan kardiologi, kardiotorasik dan anestesiologi jantung dikembangkan di Hospital Kuala Lumpur. Pada tahun sama, angiogram koronari pertama di HKL dilakukan oleh Dr Nik Zainal, manakala Dr Rozali Wathooth melakukan pembedahan pintasan arteri koronari pertama di situ pada September 1982.
Jadi serangan jantung Tun Mahathir bukan satu-satunya sebab IJN ditubuhkan.
Keperluan itu memang sudah ada.
Pada 1989 sahaja, kerajaan merekodkan 5,294 kematian akibat penyakit jantung, bersamaan 29.1 peratus daripada jumlah kematian yang direkodkan ketika itu. HKL pula cuma mempunyai tiga pakar bedah kardiotorasik dan enam pakar kardiologi dalam perkhidmatan berkenaan. Ada pesakit terpaksa menunggu berbulan-bulan, malah sehingga dua tahun sebelum mendapat rawatan awal.
Pengalaman Tun Mahathir pada 1989 mempercepatkan lagi desakan untuk mempunyai pusat jantung sendiri.
Institut Jantung Negara akhirnya ditubuhkan pada 1992 dan mula beroperasi pada 1 Ogos tahun itu. Tun Mahathir kemudian merasmikan IJN pada 12 Jun 1993.
Sejak itu, IJN bukan sahaja merawat pesakit. Ia turut membina kepakaran Malaysia dalam bidang rawatan jantung.
Dalam tempoh sekitar 18 tahun pertama sahaja, lebih dua juta pesakit tempatan dan antarabangsa pernah mendapatkan rawatan di IJN. Statistik pada 2009 hingga 2011 pula merekodkan 3,183 pembedahan pintasan koronari dilakukan dalam tempoh tiga tahun tersebut.
Pada 1997, IJN melakukan pemindahan jantung pertama di Malaysia. Pemindahan paru-paru pertama menyusul pada 2005, manakala pemindahan jantung dan paru-paru pertama negara dilakukan pada 2007.
Antara kisah yang pernah membuat seluruh negara mengikuti perkembangan IJN ialah Tee Hui Yee dari Batu Pahat.
Hui Yee baru berusia 14 tahun ketika menjalani pemindahan jantung pada Oktober 2007. Sebelum itu beliau hidup lebih setahun dengan bantuan jantung mekanikal sementara menunggu penderma.
Pemindahan pertama tidak berjaya kerana tubuhnya menolak jantung tersebut.
Tidak sampai 24 jam kemudian, satu lagi jantung penderma ditemui.
Hui Yee masuk semula ke dewan bedah dan menjalani pemindahan kali kedua. Kali ini tubuhnya menerima jantung tersebut. Beliau hidup hampir lima tahun lagi sebelum meninggal dunia pada 18 September 2012 ketika berusia 19 tahun.
Namun episod pilu dan duka berlaku 37 tahun selepas pembedahan Tun Mahathir itu, pada 28 September 2026, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada pukul 9.20 pagi.
Institusi yang sejarah penubuhannya mempunyai kaitan rapat dengan satu episod yang Allahyarhamah sendiri lalui bersama suaminya pada Januari 1989.
Al-Fatihah.












No comments:
Post a Comment