Kuala Lumpur: Pelakon berkarisma, Datuk Rosyam Nor, 57, melahirkan perasaan gembira apabila lakonannya dalam filem Memoir Seorang Guru mendapat 'standing ovation' daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di majlis pra tayangan khas filem berkenaan di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di sini, malam tadi.
Rosyam turut teruja apabila ramai penonton sebak serta mengalirkan air mata melihat lakonannya yang menyentuh perasaan itu.
"Semasa tayangan sedang berlangsung tiba-tiba Menteri (Fadhlina) bangun dan beri tepukan. Ini sesuatu yang amat mengharukan saya dan juga pasukan saya untuk filem ini.
"Juga saya dapati Pawagam P Ramlee 'banjir' malam ini kerana di sana sini ada yang menangis kerana sangat tersentuh dengan cerita yang dipaparkan.
"Filem ini khusus untuk semua rakyat Malaysia dan semoga dapat sokongan semua kerana dihasilkan sempena dengan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei ini," katanya.
Dia turut menyeru ibu bapa agar membawa anak-anak menonton filem ini apabila ditayangkan di pawagam bermula 30 Mei ini.
"Saya harap ibu bapa boleh bawa anak-anak tonton filem ini kerana ia beri banyak inspirasi kepada mereka," katanya yang melakonkan watak Cikgu Sunan.
Sementara itu, Fadhlina turut menggalakkan orang ramai menonton filem yang diadaptasi dari novel karya novelis terkenal, Allahyarham Azizi Abdullah apabila ditayangkan nanti.
"Filem ini adalah karya agung daripada sasterawan yang sangat-sangat dekat dengan masyarakat dan setiap karya beliau adalah karya yang sangat menyentuh perasaan.
"Karya ini telah diangkat dengan sangat baik ke layar filem dengan penjiwaan, pemilihan kata dan babak-babak yang saya tidak boleh gambarkan dapat diterjemahkan dengan sangat baik sekali.
"Barangkali juga saya akan menaja beberapa tayangan filem ini nanti," katanya.
Memoir Seorang Guru diterbitkan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, selaku rakan strategik, pihaknya amat menyokong usaha murni yang dilakukan oleh Kalam Ariff Holdings dalam menghasilkan filem terbabit.
"Selaku sebuah institusi yang memelihara kebajikan warga pendidik di negara ini, tentu sekali peranan, visi dan misi kami terarah untuk memartabatkan profesion keguruan ini.
"Oleh itu, kerjasama yang dijalinkan dalam pembikinan filem ini adalah umpama satu impian kami yang terlaksana untuk membantu dan menyokong sektor korporat termasuk industri perfileman dalam menerbitkan sebuah filem yang boleh mengangkat martabat profesion keguruan negara," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment