PETALING JAYA: Polis merampas kereta mewah, nombor plat, jam tangan dan barangan lain bernilai RM51.2 juta selepas menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata 10 individu ditahan dan akan direman hingga tujuh hari untuk siasatan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak 2017 dengan melakukan penipuan di luar negara sebelum menyalurkan dana ke Malaysia.
“Penipuan pelaburan forex dan kripto bermula 2017. Wang daripada penipuan dan aktiviti haram itu berlaku di negara asing kemudian sindiket ini memindahkan wang berkenaan ke Malaysia guna ‘money changer’ haram,” katanya pada sidang media.
Razarudin berkata, wang itu kemudian dibelanjakan untuk membeli barangan mewah, nombor plat dan melabur dalam perladangan durian seluas 100 ekar di Pahang.
Barangan dirampas termasuk 129 geran kenderaan dengan nombor pendaftaran eksklusif bernilai RM18 juta, 85 jam tangan dan beg mewah RM10 juta, 18 kenderaan mewah bernilai RM8 juta, wang tunai RM503,000 dan 203 motosikal keseluruhan RM406,000.
Polis turut membekukan 33 akaun bank dengan jumlah RM10.7 juta.
Razarudin berkata, beberapa lagi sindiket dalam ‘radar’ polis dan siasatan sedang dijalankan.
“Kita juga menjalankan siasatan ke atas akaun palsu dan judi dalam talian. Setakat ini, kami membekukan akaun bank sehingga RM32 juta,” katanya.-FMT
No comments:
Post a Comment