RAFAH: Israel melancarkan serangan terbarunya hari ini di bandar Rafah, selatan Gaza, ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual bertemu untuk membincangkan serangan maut yang mencetuskan bantahan global.
Biarpun kebimbangan meningkat terhadap korban awam, Israel tidak menunjukkan tanda untuk mengubah haluan tindakannya dan usaha antarabangsa untuk mendapatkan gencatan senjata segera masih tidak berjalan.
Wartawan di Rafah melaporkan serangan terbaru pada awal hari ini beberapa jam selepas saksi dan sumber keselamatan Palestin memberitahu kereta kebal Israel sudah menembusi pusat bandar itu.
"Orang ramai kini berada di dalam rumah mereka kerana sesiapa yang bergerak akan ditembak oleh dron Israel," kata seorang penduduk, Abdel Khatib.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sudah memberi amaran kepada Israel supaya tidak melancarkan operasi ketenteraan besar di Rafah, namun semalam, pentadbirannya menegaskan bahawa Israel masih belum melepasi garis merah.
"Kami tidak melihat mereka merempuh Rafah," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby.
Seorang pegawai pertahanan awam di Gaza berkata, serangan Israel ke atas kem pemindahan di barat Rafah semalam membunuh sekurang-kurangnya 21 orang.
Terdahulu, serangan pada hujung minggu lalu mencetuskan kemarahan global dan mendorong Majlis Keselamatan PBB memanggil sesi tergempar.
Tentera Israel menolak dakwaan mereka terbabit melakukan serangan semalam di kawasan perlindungan yang sudah ditetapkan.
"Tentera (Israel) tidak menyerang kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi," kata tentera dalam satu kenyataan, merujuk kawasan yang ditetapkan untuk berlindung kepada penduduk Rafah yang berpindah.
Ahad lalu, serangan Israel di luar Rafah mencetuskan kebakaran di kem pemindahan, membakar tempat perlindungan sementara dan membunuh 45 orang, menurut pihak berkuasa Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggelar serangan itu sebagai 'kemalangan tragis', sementara tentera berkata mereka menyasarkan kawasan Hamas dan membunuh dua anggota kanan kumpulan itu.
Tentera kemudian berkata, senjata yang digunakannya tidak mungkin boleh mengakibatkan kebakaran kem maut.
"Senjata digunakan kami tidak mungkin mampu menyalakan api sebesar ini," kata jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari.
Algeria, yang memanggil mesyuarat tergempar itu, sudah membentangkan draf resolusi kepada anggota Majlis Keselamatan PBB, menggesa untuk menamatkan serangan Israel di Rafah dan gencatan senjata segera.
Majlis Keselamatan PBB dijadual sekali lagi membincangkan isu perang itu hari ini.
-BH Online
No comments:
Post a Comment