BAITULMAQDIS: Israel meneruskan serangan ke atas Rafah dan mendakwa pasukan pertahanannya (IDF) sudah menawan keseluruhan Gaza termasuk zon penampan di sepanjang sempadan dengan Mesir.
Operasi ketenteraan terbaharu Israel berdekatan Semenanjung Gaza dan Mesir itu memberikannya kuasa penuh atas keseluruhan sempadan darat Gaza.
Pegawai perubatan di Gaza memaklumkan, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin dalam serangan udara ke atas Rafah awal pagi semalam dengan pertempuran meluas berterusan di beberapa kawasan lain di pinggir pantai.
Katanya, penaklukan Israel di zon penampan menyebabkan laluan yang digunakan kumpulan Hamas untuk menyeludup senjata ke Gaza selama lebih tujuh bulan perang terputus.
Perang yang berlanjutan itu memusnahkan sebahagian besar wilayah itu dan menimbulkan kebimbangan terhadap nasib lebih 1.2 juta pelarian di situ, yang semakin diancam kebuluran.
Sumber perubatan Gaza berkata, ramai mangsa cedera dalam serangan udara Israel ketika mereka cuba membawa keluar mayat 12 orang awam Palestin yang terbunuh di tengah-tengah Rafah.
Menurut pegawai perubatan, seorang lagi orang awam Palestin terbunuh dalam serangan udara ke atas kem pelarian Al-Shati di barat bandar Gaza.
Israel turut melaporkan pertempuran di selatan, tengah dan utara Gaza, namun tidak mengulas mengenai kematian yang dilaporkan di Rafah, yang menjadi satu-satunya lokasi tumpuan ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal untuk berlindung.
Menurut syarikat telekomunikasi Palestin, Jawa, dalam satu kenyataan, perkhidmatan itu terputus di Rafah.
Sementara itu, ketika Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, berhubung dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, menerusi panggilan telefon, Israel menegaskan kepentingan operasi berterusan di Rafah untuk mendapatkan maklumat konkrit mengenai tebusan yang ditahan di sana.
Kementerian Pertahanan Israel berkata, Gallant turut memperincikan aktiviti pasukan pertahanan Israel (IDF) di kawasan Rafah, yang mana sebanyak 20 terowong dikaitkan dengan pejuang Hamas dikenal pasti.
Tentera Israel dalam satu kenyataan lain turut berkata, terowong bawah tanah yang digunakan Hamas untuk menyeludup dan menggerakkan pejuangnya ditemui ketika serbuan terbaru, bersama sejumlah besar senjata dan bahan letupan.
Pada 15 Mei lalu, seorang pegawai Israel berkata, terdapat 50 terowong yang menghubungkan Rafah ke Sinai di Mesir, dan menyuarakan kebimbangan bahawa Hamas boleh menggunakannya untuk menyeludup tebusan ke wilayah Mesir.
Dalam pada itu, Mesir menafikan kewujudan terowong sedemikian atau bantuan pihaknya kepada mana-mana kumpulan pejuang di Palestin .- REUTERS
No comments:
Post a Comment