Kuala Lumpur: Menjanjikan keuntungan sehingga 2.5 peratus sehari jika melabur dalam skim pelaburan mata wang kripto (USDT) dengan menawarkan lima pakej bermula silver sehingga titanium.
Malah bagi meyakinkan pelabur, syarikat pelaburan berkenaan juga kononnya turut terbabit dalam pelaburan emas dan tidak akan mengalami masalah menyebabkan mangsanya tidak mengesyaki apa-apa.
Difahamkan, dalang syarikat terbabit sebelum ini pernah membuka syarikat lain yang menjalankan modus operandi yang sama, namun apabila 'kantoi' dia menutup syarikat terbabit sebelum membuka syarikat baharu bagi memperdaya mangsa baru.
Mangsanya pula bukan calang-calang kerana ada yang terdiri daripada ahli perniagaan, penjawat awam dan pekerja swasta di mana pihak Advokasi Khidmat Guam turut menerima aduan berkenaan membabitkan puluhan mangsa yang tampil mengadu terpedaya dengan syarikat terbabit.
Mangsa yang juga penjawat awam ingin dikenali sebagai Rozita, 55, berkata, dia mula mengenali skim ini pada Ogos tahun lalu ketika berkunjung ke pejabat syarikat itu yang terletak di Subang Jaya, dekat sini.
Menurutnya, dia kemudian bertemu seorang lelaki yang memperkenalkan skim pelaburan kripto USDT itu di mana lelaki itu memberitahu dia adalah wakil kepada pengasas syarikat pelaburan terbabit.
"Lelaki terbabit juga mendakwa syarikat itu turut terbabit dalam produk lain seperti pelaburan emas dan terus meyakinkan saya untuk melabur dalam syarikatnya.
"Dia mendakwa skim ini adalah pelaburan sah dan meyakinkan di mana pelaburan menggunakan mata wang USDT dan dilaburkan serta didagangkan di dalam platform diuruskan syarikat terbabit," katanya kepada Harian Metro.
Rozita berkata, pihak syarikat itu juga menawarkan jual beli USDT sekiranya pelabur tidak mempunyai wang USDT di mana ia menjanjikan keuntungan sehingga 2.5 peratus sehari.
"Pakej yang ada bermula 100 USDT untuk pakej silver (1.4 peratus keuntungan), 500 USDT pakej standard (1.5 peratus), 1,000 USDT pakej gold (1.6 peratus), 5,000 USDT pakej platinum (dua peratus) dan 10,000 USDT pakej titanium (2.5 peratus).
"Selepas itu, saya membuat pelaburan berjumlah RM46,000, namun selepas masuk dalam pelaburan itu dan berselang beberapa bulan saya mula berasa ditipu apabila wang dilaburkan tidak dapat dikeluarkan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa ingin dikenali sebagai Anis, 47, berkata, dia kerugian RM211,610 selepas turut menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kripto itu.
"Dia mula melabur dalam skim terbabit pada Ogos tahun lalu, selepas diperkenalkan oleh kenalan lama berkaitan mata wang kripto ini.
"Konsep pelaburan ini adalah menggunakan mata wang kripto dan dilaburkan atau didagangkan di dalam platform (e-wallet) yang dicipta oleh syarikat terbabit," katanya.
Menurutnya, selepas bayaran dibuat, mereka akan diberi pautan untuk memuat naik aplikasi syarikat itu di mana pada mulanya wang pelaburan itu ada di dalam sistem namun selepas beberapa bulan wang itu disekat dan tidak dapat dikeluarkan.
-myMetro
No comments:
Post a Comment