NIBONG TEBAL: Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan untuk Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap di sini, malam tadi sedikit gamat apabila isu harga minyak yang tidak turun dibangkitkan seorang penyokong parti itu.
Lelaki itu yang berada dalam kalangan penyokong berteriak mempersoalkan mengapa harga minyak tidak turun ketika Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sedang menyampaikan ucapan.
Ia dipercayai susulan pengumuman penetapan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula tengah malam tadi di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.
Satu klip video yang tersebar di media sosial turut memaparkan tindakan Rafizi menjemput lelaki itu ke pentas bagi memudahkan beliau memberikan penjelasan secara terus, sambil disahut hadirin.
Berdasarkan penjelasan diberikan, Rafizi memaklumkan kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi bahan api termasuk diesel mencecah RM60 bilion setahun, sebaliknya mengalihkannya dengan memberikannya terus kepada rakyat.
Beliau berkata, sebelum ini subsidi terbabit dibayar kepada beberapa syarikat minyak saban tahun, berbeza dengan tindakan kerajaan ketika ini yang terus mengagihkannya termasuk kepada keluarga yang menikmati pembiayaan serendah RM200 hingga RM500 sebulan.
"Zaman minyak dulu yang harga RM1.90 tahu tak berapa harga minyak mentah masa itu? Tahu tak berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit saja (ditanggung kerajaan kerana) masa itu subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih.
"Sekarang ini subsidi RM60 bilion dengan harga minyak mentah AS$80 (setong)... saya sebut dulu (turunkan harga minyak) kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditangguh kenapa nak hapuskan subsidi.
Alih subsidi, bukan batal
"(Sekarang) bila subsidi sudah jadi RM80 bilion nak buat sekolah tak boleh, nak naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga (minyak) yang rendah itu yang dapatnya orang kaya-kaya, bukankah lebih baik kita alihkan subsidi itu, bukanlah kita batalkan.
"(Kita) alih subsidi maksudnya subsidi terus diberi. Diesel kenderaan awam, lori kecil, pikap, peniaga semua dapat, malah orang biasa gaji RM100,000 ke bawah setahun pun dapat atau kita agihkan kepada keluarga biar dapat subsidi minyak tiap-tiap bulan RM200, RM300, RM400 (atau) RM500," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat akan dapat melihat dengan lebih baik bagaimana peruntukan subsidi itu disalurkan kepada isi rumah berbanding terus dibayar kepada syarikat minyak.
Sebelum ini, Rafizi pernah dilaporkan berkata Kerajaan dijangka menanggung subsidi lebih RM100 bilion setahun sekiranya harga minyak mentah dunia mencecah AS$100 setong, melainkan reformasi dilaksanakan terhadap sistem subsidi.
Menurutnya, perbincangan berkenaan subsidi bersasar tidak dapat dielakkan apabila melibatkan anjakan besar yang perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
-BH Online
No comments:
Post a Comment