Kepala Batas: "Memang tak sangka dapat anak dalam usia begini, tapi bukan sebab saya 'kuat', Allah SWT yang berkuasa. Lahirnya anak saya pun atas kurniaan dan kehendakNya," kata pesara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Yob Ahmad yang dikurniakan rezeki apabila dapat menimang cahaya mata pada usia 80 tahun.
Bayi perempuan diberi nama Nur itu dilahirkan pada 31 Mei lalu dan anak hasil perkahwinan dengan Zaleha Zainul Abidin, 42.
Berkongsi kisahnya, Yob berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal anak kerana sedar keadaan dirinya yang sudah lanjut usia malah sudah mempunyai empat anak hasil perkahwinan terdahulu.
"Saya berserah kepada Allah SWT kerana hanya mampu usaha, selebihnya kehendak Dia, kehendakNya kita tak ada daya nak halang.
"Tapi bila Allah SWT izinkan isteri mengandung sampai dapat anak, saya bersyukur sangat serta anggap satu rezeki.
"Saya harap anak membesar dengan sihat jadi insan yang solehah, itu saja" katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ditanya rahsianya kekal sihat, Yob berkata, dia jarang bersenam namun ada mengamalkan pengambilan herba.
"Itu saja, makan dan tidur pun tak sangat kerana pada malam hari pun, saya tak lena (tidur) sangat kerana lagi suka habiskan masa dengan berzikir," katanya yang mempunyai tujuh cucu.
Sementara itu, isterinya, Zaleha berkata, dia dan suaminya tidak pernah membincangkan soal zuriat walaupun sudah 10 tahun berumah tangga.
Zaleha berkata, dia juga tidak terlalu mengharap kerana sedar faktor umur mungkin menjadi halangan untuk mendapatkan zuriat.
"Saya pernah hamil lima tahun lalu tetapi tak ada rezeki selepas mengalami keguguran. Tapi bila dapat tahu hamil lagi waktu kandungan hampir tiga bulan, memang terkejut dan macam tak percaya kerana ingatkan sudah menopaus.
"Dalam erti kata lain, saya ingatkan tak boleh mengandung lagi sampai nak berangan pun tak memikirkan soal umur.
"Tapi ini yang dinamakan rezeki, syukur sangat malah anak saya dan suami yang sudah besar pun teruja kerana sudah lama tak dapat adik," katanya yang mempunyai tiga anak berumur 12,14 dan 16 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Berhubung perkongsian di TikTok, Zaleha berkata, niatnya berkongsi sekadar dijadikan kenangan dan terkejut apabila videonya tular memandangkan tidak mempunyai ramai pengikut di platform berkenaan.
"95 peratus komen positif, kebanyakannya daripada mereka yang belum ada anak malah ada juga kongsi kisah ibu mereka bersalin pada usia 50 an.
"Ada satu dua saja kecam ingatkan cucu dan bukannya anak tapi saya terima saja kerana selama ini hanya berserah kepada Allah SWT dalam soal rezeki.
"Setakat mana Allah SWT nak bagi, saya terima dan berharap perkongsian saya itu menyuntik semangat orang di luar sana supaya tidak berputus asa walaupun belum dikurniakan zuriat.
"Terima kasih kepada yang mendoakan dan berharap doa yang baik juga berbalik kepada mereka," katanya yang masih berada di Hospital Kepala Batas, di sini.
-myMetro
No comments:
Post a Comment