Imam Mahdi, merujuk pada “pemimpin yang akan muncul untuk membersihkan dunia ini daripada dajjal (ketika hampir kiamat).” Kamus Dewan
Maka ramai mula berkeinginan untuk menjadi sang penyelamat dan mengharap segera datangnya si penyelamat itu.
Manusia yang kita sangka Imam Mahdi pada hari ini, kemungkinan besar kita yang perlukan huda (petunjuk) sebagai yahdi (penyuluh) buat diri.
Kerana zaman-berzaman manusia tertipu dengan sosok al-Mahdi, berulang kali telah tertipu namun masih percaya. Ini sebagaimana dilaporkan:
Bahawa “seorang lelaki berusia 40 tahun yang mengaku bakal imam Mahdi menyerang imam Masjidil Haram.” -1- Insiden ini terjadi pada bulai Mei tahun 2021.
Pada Disember 2015 “seorang warga Indonesia yang bernama Muhammad Zubir Amir Abdullah, yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi.” -2-
Tahun berikutnya (2016) “lelaki bernama Mat Alimin Abdullah, berusia 36 tahun, juga mengaku sebagai imam Mahdi dan telah disabitkan kesalahan dan dipenjara.” -3 –
Bahkan ada yang mengaku diri sebagai imam Mahdi dan ditembak mati, iaitu “pada 9 Julai 2012, seorang lelaki menyerang kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya menggunakan pedang samurai. Lelaki itu bagaimanapun ditembak mati oleh polis dan siasatan lanjut mendapati suspek mengaku dia ialah imam Mahdi.” -4-
Polemik imam al-Mahdi bukanlah isu yang baru, selain krisis basi yang dihangatkan berulang kali, namun masih lagi ada yang menjamah hidangan itu. Sabda Nabi SAW:
لَا يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: “Tidaklah orang mukmin tersengat dua kali dari lubang yang sama.” -5-
Berapa kali lagi umat ini akan terpedaya dengan dakyah al-Mahdi? Sampai bila hendak berteori dan berhalusinasi? Tidak cukupkah begitu ramai yang telah tertipu?
Sebahagian manusia begitu teruja menakwil hadis nama al-Mahdi iaitu:
اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي
Maksudnya: “Namanya adalah namaku dan nama bapanya ialah nama bapaku.” -6-
Kononnnya walaupun bukan Muhammad namanya, tapi termasuk juga gelaran atau nama ada kaitan dengan Nabi SAW. Sedangkan suatu ketika dahulu telah ada penipu yang mempunyai nama yang sama dengan Nabi SAW.
Iaitu “Muḥammad bin ʿAbd Allāh, yang lahir pada August 12, 1844. yang berasal dari Sudan.
Sejak kecil meminati agama dan cenderung kepada aliran sufi, selain itu beliau pengamal tarekat Sammaniyah -7- Beliau mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi pada tahun 1881.
Beberapa siri perang telah dimenanginya menyebabkan beliau semakin yakin tentang ramalan hadis-hadis akhir zaman. Dan malangnya dia telah wafat pada Jun 22, 1885.” -8- Tak sempat bertemu dengan Dajjal, namun cukup untuk memperdaya umat yang terdesak mencari Imam Mahdi.
Seorang lagi ulama masyhur dalam kalangan aliran al-‘Asyairah dan bukunya diterjemahkan dan dijual iaitu Ibnu Tumart.
Ibn Tumart juga pernah mengaku bahawa beliau keturunan Nabi SAW dari jalur Hasan dan kenyataan ini disokong oleh tokoh sejarah iaitu Ibn Khaldun.
Al-Subki berkata mengenai Ibn al-Tumart, bahawa beliau “seorang yang soleh, zuhud, melakukan amar makruf dan nahi mungkar, alim mazhab Syafie.” -9-
Al-Zahabi mengambarkan Ibn al-Tumart dengan katanya:
“Ibn al-Tumart adalah salah seorang ahli ilmu. Dia menginginkan sesuatu dan akhirnya dia mendapatkannya. Dia mengambil perhatian orang-orang Barbar dengan menyatakan maksum. Dia menumpahkan darah sebagaimana orang-orang Khawarij.” -10-
Keghairahan beliau menjadi al-Mahdi hingga menyebabkan beliau melakukan helah, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Zahabi:
“Ibnu Tumart menyembunyikan beberapa orang di kuburan para pendeta. Dia datang kepada sekelompok orang untuk menunjukkan tanda kepada mereka.
Dia menyeru, ‘Wahai orang-orang yang telah mati, jawablah!’ Mereka menjawab, ‘Engkaulah al-Mahdi, engkau dan engkau.’
Ibnu Tumart khuatir jika penipuannya terbongkar. Kemudian dia mengubur mereka di kuburan itu hingga mereka mati.” -11-
Malangnya Ibn Tumart yang ramai yakini dia adalah imam al-Mahdi itu juga juga telah wafat pada tahun 524 hijrah. Kecundang dan kecewa lagi para penunggu al-Mahdi.
Ada ramai lagi tokoh mendakwa diri Mahdi dan tidak kurang juga individu yang manusia anggap mereka sebagai al-Mahdi. Salah seorang iaitu Said bin Husein.
Ibn Taimiyyah memberi komentar bahawa “Said bin Husein atau lebih dikenali Ubaidullah al-Mahdi, beliau juga antara manusia mendakwa diri sebagai imam al-Mahdi. Beliau wafat pada 322h.” -12-
Ibn Katsir meriwayatkan mengenai manusia ini dengan katanya:
“Yang pertama kali mengadakan peringatan maulid Nabi adalah para raja kerajaan Fathimiyyah -Al’Ubaidiyyah yang dinasabkan kepada ‘Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah.” -13-
Said bin Husein ini bukan sahaja terbukti bukan imam al-Mahdi, bahkan dia menjadi imam kepada acara bidaah tahunan iaitu maulid.
Seteruk ajaran Ayah Pin, masih ada yang mengikutinya, semestinya manusia sebaik Ibn Tumart atau selainnya tentu lebih mudah mendapat pengaruh dan amat senang diterima dakyahnya.
Wujud dalam kalangan orang besar aliran Asyairah yang mengaku jadi al-Mahdi, ada juga kalangan penyambut maulid yang mengaku menjadi al-Mahdi. Maka kita perlu sentiasa berhati-hati.
Adapun mengenai ciri-cirinya pula, terkadang rupa, nama atau keturunan boleh jadi ianya sama, namun ada ciri khusus yang hanya ada pada al-Mahdi sahaja. Sebagaimana Ibn Katsir berkata:
“Keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa AS. Ini berasaskan sebuah hadis:
فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا . فَيَقُولُ لاَ . إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ . تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ
Isa bin Maryam turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.” -14-
Andai ada orang mengaku al-Mahdi atau diangkat menjadi al-Mahdi, kita tanya semula, sudahkah Nabi Isa turun semula ke bumi? Andai belum, maka dakwaan itu adalah khayalan!
Telah berlalu ramai orang sebelum ini yang mengandaikan si fulan al-Mahdi, namun berakhir dengan kesilapan, apakah kita juga beria mengulangi kesilapan mereka. Atau kita perlu berusaha merubah landskap pemikiran sebelum terlambat?
Kemunculan imam Mahdi palsu bukanlah peristiwa pertama kali dan tentu akan ada lagi Mahdi palsu. Cuma kita tak perlu tunggu imam al-Mahdi muncul, sebaliknya munculkan diri untuk solat dengan imam yang menunggu kita setiap hari di masjid dan sentiasalah beramal soleh sebagai persediaan bertemu dengan Allah kelak.
Wallahualam.
________________________
1. Diadaptasi dari:
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/05/lelaki-mengaku-imam-mahdi-serang-imam-masjidil-haram/
https://www.sinarharian.com.my/article/140014/GLOBAL/Lelaki-mengaku-bakal-Imam-Mahdi-serang-imam-Masjidil-Haram
2. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2015/12/106597/jakim-siasat-lelaki-dakwa-diri-imam-mahdi
3. Diadaptasi dari: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lelaki-dipenjara-24-bulan-denda-kerana-isytihar-diri-imam-mahdi-103890
3. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/56388/siri-misteri-usah-terpedaya-dakyah-imam-mahadi-palsu
4. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/56388/siri-misteri-usah-terpedaya-dakyah-imam-mahadi-palsu
5. Riwayat Muslim
6. Riwayat Abu Daud
7. Tarekat Sammaniyah merupakan salah satu cabang dari Tarekat Syadziliyah yang didirikan oleh Abu Hasan Ali asy-Syazili (wafat 1258) di Mesir. Pendiri Tarekat Sammaniyah adalah Muhammad bin Abdul Karim as-Samani al-Hasani al-Madani (1718-1775 M). Tarekat ini masuk ke Sudan atas jasa dari Syekh Ahmad at-Tayyib bin Basir yang sebelumnya belajar di Makkah sekitar tahun 1800.
8. Diadaptasi dari: https://www.britannica.com/biography/al-Mahdi-Sudanese-religious-leader
https://m.malaysiakini.com/hiburan/508251
https://islami.co/gerakan-al-mahdiyah-sudan-dari-tarekat-menjadi-sebuah-gerakan-perlawanan-penjajah/
9. Tabaqat al-Syafiyyah
10. Siyar A’lam al-Nubala
11. Ibid
12. Minhaj al-Sunnah
13. Bidayah wal Nihayah
15. Al-Fitan wa al-Malahim
Editor: Loha
28 Zulkaedah 1445H
No comments:
Post a Comment