Penyokong kerajaan memuat semula klip video tanpa menunjukkan pegawai Xi Jinpeng yang seolah-olah menegur perdana menteri.
Sebuah gambar di mana Anwar Ibrahim dilihat disambut mesra oleh Xi Jinping di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Korea Selatan kini terpalit dengan pelbagai spekulasi orang ramai, susulan pendedahan video yang menunjukkan beberapa pegawai presiden China itu seakan-akan menegur perdana menteri agar kembali ke tempat duduk beliau.
Klip video yang mula tular sejak semalam menunjukkan Anwar datang menghampiri Xi untuk berjabat tangan, ketika presiden China itu berada di tempatnya.
Beberapa pegawai Xi dengan segera mengerumuni Anwar, di mana salah seorang lelaki dilihat menuding jari ke arah perdana menteri sambil mengatakan sesuatu kepadanya.
Dalam masa kurang 10 saat, Anwar dilihat beredar dari situ.
"Sorry. President Xi tengah busy ketika itu. Agaknya apa yang pembantu Xi kata bila dia tuding jari kat PMX?" soal pemerhati politik terkenal Eric See-To.
Katanya, menuding jari ke atas seseorang dianggap tidak sopan.
"Orang China tak faham bahawa ianya tak sopan untuk tuding jari?
Jadi, kita kena boikot China ke apa sekarang?" katanya berseloroh.
Video tersebut dikongsi secara meluas di TikTok dan pelbagai platform lain, dengan ramai mempersoalkan sama ada Anwar "diusir" oleh pegawai presiden Xi.
"Tolonglah sesiapa ajar perdana menteri Malaysia ini tentang protokol majlis. Jangan buat malu Malaysia," kata seorang pengguna TikTok, antara puluhan ribu komen yang meluahkan rasa terkejut dengan apa yang berlaku, sambil mempersoalkan Anwar kerana "main terjah".
Bagaimanapun, insiden itu cuba dipertahankan penyokong kerajaan, sebahagian besarnya dipercayai tentera siber upahan, yang mula memuat naik versi lain video sambil menyifatkannya sebagai bukti Anwar pemimpin yang dihormati dunia.
Beberapa bahagian dalam video asal juga didapati mula dinaikkan oleh penyokong kerajaan, di mana adegan pegawai yang dilihat menuding jari dan seolah-olah menegur Anwar juga dipotong.
Sebuah laporan Utusan Malaysia turut menggunakan gambar daripada insiden itu tanpa menunjukkan pegawai Xi yang dilihat dalam klip video.
MalaysiaNow masih belum mendapat mengesahkan mengenai apa yang dituturkan pegawai itu sebelum Anwar beredar dari situ.
Insiden itu selang beberapa hari Anwar menandantangani sebuah perjanjian perdagangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 26 Oktober, yang dikecam pelbagai pihak sebagai menyerahkan kedaulatan Malaysia di samping menyebelahi Washington dalam perang dagangnya bersama China.
Malaysia antara lain bersetuju untuk tidak mengharamkan atau mengenakan kuota ke atas eksport mineral nadir bumi ke AS, langkah yang dilihat penganalisis sebagai melemahkan kuasa China.
China, pengeluar nadir bumi terbesar di dunia, baru-baru ini menggunakan kekuatannya dalam memaksa AS kembali ke meja rundingan.
AS bergantung kepada China untuk sebahagian besar bekalan nadir buminya.
-MalaysiaNow











No comments:
Post a Comment