
KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengumumkan pengunduran dirinya daripada Kabinet Persekutuan sebagai tanda mempertahankan hak 40 peratus hasil Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau menegaskan langkah itu diambil selepas meneliti penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh Hakim Celestina Stuel Galid yang menyokong tuntutan Sabah Law Society (SLS) terhadap pelaksanaan hak 40 peratus tersebut.
Menurut Ewon, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes berkenaan jelas mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia, termasuk syarat penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan.
Jelas beliau, ia sebagaimana dinyatakan dalam dokumen-dokumen asas seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian AGC. Mereka adalah penasihat kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan. Maka sangat janggal untuk saya terus kekal dalam Kabinet Persekutuan sedangkan pendirian itu bercanggah dengan perjuangan UPKO,” ujarnya.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menegaskan bahawa pendekatan AGC terhadap isu hak 40 peratus Sabah sejak tiga tahun lalu tidak selari dengan prinsip perjuangannya dan UPKO.
Malah beliau sendiri pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan pada Jun 2022 berkaitan isu yang sama sebelum menariknya semula pada September 2023.
Beliau menegaskan, AGC sepatutnya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, sebaliknya perlu memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan pelaksanaan sebenar hak yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Saya ingin melihat hak Sabah dilaksanakan, bukan sekadar dijanjikan. Itu sebab saya menyertai politik,” katanya dalam kenyataan rasmi bertarikh 8 November, semalam.
Ewon turut menyatakan hasrat untuk mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan pengunduran rasminya daripada Kabinet Persekutuan.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peluang berkhidmat dalam kerajaan, namun menegaskan bahawa perjuangan prinsip dan hak Sabah adalah keutamaan yang tidak boleh digadaikan demi kedudukan.
“Saya akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin depan bagi membincangkan agenda ‘Sabah First’ yang menjadi asas hala tuju parti,” jelasnya.
Langkah Ewon ini dilihat sebagai pendirian berani dan bermaruah yang mencerminkan kekecewaan rakyat Sabah terhadap kegagalan kerajaan pusat menunaikan janji pelaksanaan MA63 secara tuntas.
Ia juga menjadi isyarat tegas bahawa Sabah menuntut keadilan fiskal dan autonomi sebenar, bukan sekadar janji manis politik menjelang pilihan raya. – HARAKAHDAILY 9/11/2025









No comments:
Post a Comment