DI JOHOR & NS BUKAN BUKTI KEIKHLASAN UMNO, TAPI SERLAH IKHLASNYA PAS
13 September 2026
Dalam ucapan penggulungan PAU2026 petang semalam, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan mencadangkan agar suatu ujian dilaksanakan sebagai langkah mengukur keikhlasan PAS.
Beliau berkata, selepas PRN Melaka akan datang, adalah dicadangkan agar PAS membubarkan mana-mana DUN di negeri yang ditadbirnya bagi membolehkan satu lagi PRN berlangsung.
"Lepas Melaka esok, kita cuba (uji) pula sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 tersebut buat pilihan raya.
"Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai, kan?
“(Misalnya) Buat di Terengganu, macam mana? Tunjuklah kalau ikhlas sama-sama,” katanya lagi.
Serentak itu, beliau dikenali Tok Mat menambah, di pihak UMNO/BN, mereka sudah pun membuktikan keikhlasan dalam bekerjasama dengan PAS di Johor dan Negeri Sembilan.
Oppsss Tok Mat…bila masa UMNO sudah berlaku ikhlas terhadap PAS di Johor dan Negeri Sembilan?
Di PRN Johor, UMNO/BN bertanding di semua 56 kerusi, walaupun PAS mempunyai satu kerusi yang dimenanginya pada PRN sebelumnya.
Malah, ketika fasa kempen, tiada terdengar ucapan pemimpin UMNO/BN tentang kerjasama dengan PAS.
Sebaliknya, PAS yang hanya bertanding 11 kerusi, secara terbuka menyatakan matlamatnya bertanding ialah untuk memastikan kuasa Melayu kekal memenrintah Johor.
Seruan itu bermaksud agar UMNO/BN kekal mentadbir Johor dan sekaligus bagi menutup peluang PH yang ada DAP di dalamnya memperolehi banyak kerusi kemenangan.
Bahkan, Presiden PAS Haji Hadi Awang turut mengarahkan ahli serta penyokong parti itu agar memberi undi kepada UMNO, termasuk kepada calon MCA dan MIC di kerusi-kerusi yang PAS tidak bertanding.
Di Negeri Sembilan, kerjasama UMNO dan PAS mula dijalin secara rasmi dan berlaku saling berbahagi kerusi antara kedua parti.
Bagaimanapun, UMNO/BN kekal bertanding di kerusi-kerusi yang sedia dimenanginya, manakala PAS dan Wawasan yang mewakili PN hanya bertanding di kerusi yang sedia mereka menangi dan dicampur dengan beberapa kerusi milik PKR/PH.
Melalui kerjasama BN dan PN itu, BN menang 18 kerusi DUN, sementara PN menang 7 kerusi, menjadikan kemenangan dua pertiga berjaya diperolehi.
Tetapi, pembahagian kerusi di Negeri Sembilan itu tidak memperlihatkan keikhlasan UMNO kerana tiada satu kerusi pun milik mereka yang diserahkan kepada PAS.
Jadi, kenapa tiba-tiba Tok Mat mahu menguji keikhlasan PAS dengan mencadangkan agar PRN diadakan di negeri SG4 yang bermaksud mahu melihat berapa banyak kerusi yang PAS boleh serahkan kepada UMNO?
UMNO sendiri belum menunjukkan keikhlasan kepada PAS, baik di Johor mahupun di Negeri Sembilan, kenapa pula nak uji keikhlasan PAS terhadap UMNO?
Untuk makluman Tok Mat, ujian keikhlasan UMNO ialah di PRN Melaka selepas ini, sementara PAS telah pun membuktikan keikhlasannya di dua PRN sebelum ini.
Berapa kerusi yang UMNO sanggup serahkan kepada PAS di negeri itu?
Jika UMNO kekal dengan pendirian seperti mana yang berulang kali ditegaskan oleh Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh bahawa BN tetap ingin bertanding 21 kerusi dan hanya 7 kerusi selebihnya terbuka untuk rundingan, sekali lagi itu bukanlah menunjukkan keikhlasan UMNO.
Jadi, sebelum nak uji keikhlasan PAS di negeri-negeri SG4, bolehkah UMNO buktikan keikhlasan di Melaka terlebih dahulu?
13Sept2026.










No comments:
Post a Comment