JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu kalimah Allah.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, langkah berkenaan perlu diambil bagi memastikan isu seperti itu tidak akan berulang lagi.
"Kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam.
"Berkenaan isu baru-baru ini, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas mengenai isu terbabit dan memastikannya tidak akan berulang lagi.
"Isu ini tidak boleh dipandang remeh, saya memandang serius isu ini dan berharap perkara ini tidak mengganggu gugat keharmonian negara," titah baginda dalam akaun Facebook hari ini.
Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Ia menyebabkan polemik berterusan membabitkan Pemuda UMNO yang menggesa supaya rangkaian KK Mart diboikot, manakala MCA pula mengkritik tindakan itu yang disifatkan terlalu agresif.
Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dilaporkan memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Syarikat itu dilaporkan berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.
Pengendali rakaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.
-BH Online
No comments:
Post a Comment