Baitulmaqdis: Pesawat tentera dari lima negara menghantar bantuan bekalan kemanusiaan melalui udara (airdrop) di utara Gaza, ketika perang Israel-Hamas sudah memasuki bulan keenam.
Jurugambar dalam pesawat tentera Jordan melihat ratusan rakyat Palestin berpusu-pusu mengambil bungkusan bekalan itu.
Tentera Jordan dalam satu kenyataan berkata, pesawat dari Perancis, Belgium dan Mesir turut mengambil bahagian dalam operasi bantuan yang meliputi enam misi bersama dalam menggugurkan bantuan di utara Gaza.
Katanya, Jordan menjalankan 37 operasi airdrop secara sepihak dan 40 lagi misi sama dengan kerjasama negara rakan.
Wartawan AFP dilaporkan melihat ratusan orang, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, berlari dan mendongak sebaik mendengar bunyi pesawat di atas, menunggu bungkusan itu mendarat.
Melihat keluar dari pesawat, jurugambar juga dapat melihat kemusnahan besar-besaran di bawah.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 2.4 juta penduduk Gaza berada di ambang kebuluran, terutamanya di utara wilayah itu apabila sekatan Israel menghalang akses bantuan darat.
Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas memaklumkan, sekurang-kurangnya 23 orang, hampir kesemuanya kanak-kanak, baru-baru ini, meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi.
Kumpulan bantuan berkata, hanya sebahagian kecil daripada bekalan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza, sejak Oktober tahun lalu.
Pekerja kemanusiaan dan pegawai PBB pula berkata, memudahkan akses darat bagi trak bantuan ke Semenanjung Gaza akan lebih berkesan daripada misi airdrop atau penghantaran maritim untuk mengurangkan krisis yang teruk.
Serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini di selatan Israel yang mencetuskan perang hingga mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang, dengan kebanyakannya adalah orang awam.
Menurut Kementerian Kesihatan, serangan balas Israel pula membunuh sekurang-kurangnya 31,045 orang di Gaza, majoriti daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.
-myMetro
No comments:
Post a Comment