Perayaan Aidilfitri selalu menyajikan kisah-kisah menarik dan memori indah untuk semua umat Islam di seluruh dunia.
Walaupun cara sambutan berbeza-beza mengikut budaya tempatan, tetapi semangatnya adalah sama – untuk menyambut hari kemenangan dan berkumpul gembira bersama keluarga.
Pada hari tersebut, kita sentiasa memprioritikan tindakan yang membawa kegembiraan kepada orang lain seperti bermaaf-maafan,memberi sedekah dengan menjamu tetamu yang datang beraya, dan memberi duit raya kepada sanak saudara.
Baru-baru ini, seorang pemandu bas di Indonesia mendapat pujian daripada warga maya kerana kebaikan dan kesopanan beliau dalam melayan penumpangnya semasa sambutan Aidilfitri.
Pemandu bas tersebut, dikenali sebagai Syatir, telah membawa 30 orang penumpang untuk berkunjung dan menjamu selera di rumah mentua beliau.
Kisah ini menjadi viral selepas salah seorang penumpang berkongsi pengalaman tersebut di TikTok. Mereka sedang dalam perjalanan dari Palu ke Makassar apabila beberapa penumpang mengadu lapar dan tidak menemui kedai makan yang buka di sepanjang jalan.
Syatir dengan baik hati membawa penumpangnya ke rumah mentuanya dan merancang untuk menjamu selera disana. Beliau turut menghubungi keluarga mentuanya terlebih dahulu untuk mendapatkan izin.
Para penumpang pada awalnya terkejut tetapi kemudian terharu dan bersyukur dengan tindakan tersebut. Keluarga mentua Syatir menolak sebarang bayaran kerana meraikan semangat tolong-menolong sempena hari raya.
Kebaikan Syatir dan keluarga mentuanya menyentuh hati ramai warga maya, yang kemudiannya berhasrat untuk memberi sumbangan sebagai tanda penghargaan.
-Info Rakyat
No comments:
Post a Comment