Semua mangsa nahas itu selamat dikebumikan di beberapa lokasi pengebumian di seluruh negara malam tadi.
Suasana sedih dan pilu menyelubungi majlis pengebumian Pegawai Memerintah Skuadron 503, Muhammad Firdaus Ramli di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di Pulau Pinang malam tadi. (Gambar Kementerian Pertahanan Malaysia)
KUALA LUMPUR: Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan ahli keluarga dan waris yang mengiringi perjalanan terakhir mangsa tragedi helikopter tentera laut terhempas di beberapa lokasi pengebumian di seluruh negara malam tadi.
Suasana sedih dan pilu menyelubungi majlis pengebumian lapan daripada 10 jenazah mangsa nahas berkenaan, yang dijalankan mengikut istiadat tradisi tentera laut dengan dihadiri ribuan ahli keluarga, kenamaan serta sanak saudara yang hadir memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, proses bedah siasat terhadap 10 mangsa berkenaan yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak selesai pada 2.20 petang semalam dengan jenazah mangsa beragama Islam dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah.
Jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503, Muhammad Firdaus Ramli, 44, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di Pulau Pinang malam tadi yang turut dihadiri Panglima TLDM, Abdul Rahman Ayub.
Van membawa jenazah Firdaus tiba di masjid itu pada 7.41 malam selepas disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi ketenteraan di kem berkenaan kira-kira 6 petang tadi.
Jenazah juruterbang TLDM Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, 37, dikebumikan kira-kira 10 malam di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda selepas disolatkan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati di ibu negara pada 8.20 malam.
Suasana hiba menyelubungi pengebumian jenazah Wan Rezaudeen yang dikebumikan mengikut istiadat pengebumian TLDM ketika Menteri Pertahanan Khaled Nordin menyerahkan Bendera Ensign (Panji-Panji TLDM) kepada isteri Allahyarham, Alia Amalina Md Noor.
Urusan pengebumian dua mangsa tragedi berkenaan di Perak pula selesai kira-kira 9.25 malam ini, melibatkan jenazah Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir, Lumut dan Noorfarahimi Mohd Saedy, 41, di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ulu Nor, Sungai Bayor, Selama.
Sementara itu, di Kedah, Noor Rahiza Anuar, 39, dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan pada 9.55 malam ini berhampiran kubur arwah ibunya, Ratipa Yahaya yang meninggal dunia Julai tahun lepas.
Jenazah Muhammad Faisol Tamadun, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam, Sik, kira-kira 10.10 malam bersebelahan pusara ibunya, Fatimah Abdullah yang meninggal dunia Ogos tahun lepas.
Jenazah Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan kira-kira 11 malam yang sebelum itu disembahyangkan di Masjid At-Taufiqiah Kariah Taman Pinggiran Senawang.
Turut serta dalam solat jenazah ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Turut dikebumikan malam tadi ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM, Muhamad Amir Mohamad, 44, di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Labis, Johor.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan pula memaklumkan jasad mendiang Sivasutan, 31, dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan hari ini.
Sementara itu, jasad mendiang Joanna Felicia Rohna, 26, yang diterbangkan menggunakan pesawat C-130 milik tentera udara tiba di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak pada 11.54 malam tadi dan akan dibawa ke Serian untuk disemadikan.
Dalam kejadian 9.32 pagi Selasa, 10 anggota dan pegawai TLDM maut dalam tragedi dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.-FMT
No comments:
Post a Comment