Sungai Petani: Berkat didikan ibu dan bapa mereka yang menekankan soal agama sejak kecil, bukan seorang tapi semua sembilan beradik menjadi ustaz dan ustazah.
Meskipun ada yang 'nakal' dan malu bercakap di khalayak ramai, siapa sangka mereka kini pendakwah disegani malah ada yang dikenali kerana sering muncul di kaca televisyen.
Ikuti perkongsian kisah tiga beradik iaitu Mohammad Yaakub Yusra, Muhammad Ilham Hamizan dan Mohd Ashraf Naim yang kini sama-sama berjuang ke jalan Allah SWT dengan menjadi pendakwah serta menyebarkan ajaran Islam menerusi Murtadha Dakwah Centre (Madad).
Dulu imam 'terpaksa', sekarang pendakwah terkenal
"Saya tak pernah bercita-cita menjadi pendakwah kerana impian waktu kecil mahu jadi doktor. Tapi perancangan Allah SWT lebih baik kerana takdirkan saya dan adik beradik jadi ustaz juga ustazah."
Demikian kata pendakwah bebas dan penceramah motivasi, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof atau dikenali Ustaz Yaakub Yusra yang cukup bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga agamawan apabila semua sembilan adik beradiknya menjadi ustaz dan ustazah.
Mereka adalah Ainul Mardziah, 40, Nurul Aufa, 39, Allahyarham Mohamad Murtazo atau dikenali Ustaz Murtadha, Mohammad Ashraf Naim, 36, Asma Husna, 32, Siti Syazwani, 30, Faizatul Fazliyana, 27, dan Muhammad Ilham Hamizan, 24.
Menyingkap latar belakangnya, Mohammad Yaakub berkata, beliau tidak menyangka menjadi pendakwah kerana bukan seorang yang ada keyakinan diri untuk bercakap di depan khalayak ramai.
"Dulu ketika di sekolah saya adalah orang yang paling penakut dengan mikrofon dan pengucapan awam. Bila diberikan mikrofon, saya terus rasa sel otak tidak berhubung.
"Namun ketika umur 17 tahun, saya dipaksa oleh seorang cikgu untuk bagi tazkirah ringkas dan jadi imam di surau. Asbab paksaan itu, Allah SWT izinkan untuk terus mendalami dunia dakwah sampai ke hari ini malah dapat menyambung pengajian sampai peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) pun dalam bidang dakwah.
"Jasa cikgu yang paksa itu saya kenang sampai hari ini dan kini hampir setiap hari saya jumpa beliau yang kini sudah jadi bapa mentua saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Selain didikan bapa, Mohd Yusof Ahmad, 69, yang juga bekas imam dan guru agama serta Allahyarham ibu, Zainun Awang, Mohammad Yaakub juga menjadikan pesanan Allahyarham abangnya, Murtadha Mohd Yusoff menjadi azimatnya untuk terus menyambung legasi keluarga sebagai pendakwah.
"Pesan abang saya, kaya macam mana pun jangan tinggalkan dakwah. Sebab itu saya terus berkuliah malah jika tidak dibayar pun tiada masalah.
"Kalau boleh nak dakwah sampai mati cuma setiap kali berkumpul dengan keluarga, saya dan adik beradik sama saja dengan keluarga lain iaitu bergurau juga melawak.
"Semuanya jenis 'sempoi' dan tak ada pun muzakarah setiap masa," katanya yang juga kerap menerima undangan sebagai penceramah daripada stesen televisyen.
Seiring peranannya sebagai Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad) Mohammad Yaakub berazam menjadikan pusat berkenaan sebagai tempat sehenti penyebaran dakwah tanpa mengetepikan aspek kebajikan, pendidikan dan ekonomi.
"Niat saya adalah memastikan semua orang susah dapat berteduh dan orang kaya dapat berbakti menerusi Madad," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment