Madrid: Bapa bintang remaja Sepanyol dan Barcelona, Lamine Yamal, iaitu Mounir Nasraoui ditikam dan berada dalam keadaan serius tetapi stabil, lapor akhbar Sepanyol, La Vanguardia.
Mounir Nasraoui ditikam beberapa kali di tempat letak kereta di Mataro selepas bergaduh dengan beberapa lelaki semasa beliau sedang berjalan dengan anjingnya, yang kemudiannya kembali untuk menyerangnya, menurut laporan itu memetik 'sumber rasmi yang biasa dengan insiden berkenaan'.
Polis wilayah Catalan, yang bertanggungjawab terhadap siasatan berkenaan, tidak dapat mengesahkan mengenai kejadian itu secara terbuka atau menjawab permintaan maklumat dari AFP.
Akhbar La Vanguardia melaporkan bahawa beberapa tangkapan telah pun dilakukan.
Serangan itu berlaku di kawasan Rocafonda di Mataro, sekitar 30 kilometer utara Barcelona, tempat Yamal dibesarkan dan di mana bapa serta neneknya masih tinggal.
Pemain berusia 17 tahun itu meraikan gol sambil melakukan isyarat '304' dengan tangannya, merujuk kepada poskod kawasan Catalan.
Memulakan penampilan pertamanya di Barcelona pada usia 15 tahun, Yamal melonjak ke tahap elit dengan pantas dan memainkan peranan penting untuk Sepanyol ketika meraih kejayaan di Euro 2024.
-myMetro
No comments:
Post a Comment