Gua Musang: "Selama 40 tahun saya menanti geran tanah dan sebelum menutup mata, saya berharap dapat memiliknya," luah Ahmad Ismail, 79, generasi pertama peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ahmad berkata, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung isu pemilikan geran selain berterima kasih kepada KESEDAR yang banyak membantu mereka sekeluarga sepanjang tempoh berkenaan.
"Bukan kata saya tidak bersyukur dengan pemberian tanah seluas empat hektar dan tanah kediaman yang diberikan KESEDAR, namun impian terbesar saya sebelum meninggal dunia adalah melihat geran yang mengatakan tanah berkenaan milik saya.
"Untuk keadaan sekarang, status tanah kami masih menjadi tanda tanya dan ia menjadi lebih sulit kepada anak-anak apabila kami sebagai generasi pertama meninggal dunia.
"Jika diberikan geran, ia lebih mudah untuk pembahagian nama kepada anak-anak dan mereka juga lebih yakin untuk tinggal di rumah kami kerana sudah tertera tanah itu hak kami, berbanding sekarang masih hak KESEDAR," katanya ketika ditemui di RKT Jeram Tekoh, di sini.
Jelasnya yang berharap urusan pemberian geran oleh KESEDAR dipermudahkan segalanya dan dapat dipercepatkan kepada peneroka.
"Janji Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman yang akan menyelesaikan isu pemilikan tanah sedikit sebanyak melegakan kami.
"Besar harapan saya dan rakan-rakan ianya menjadi kenyataan," katanya.
Rakannya yang juga generasi pertama peneroka KESEDAR, Hassan Md Noor, 80, turut berharap dapat melihat geran sebelum meninggal dunia.
"Di kawasan Jeram Tekoh, boleh dikatakan sudah ramai generasi pertama meninggal dunia dan menyebabkan hampir 30 rumah ditinggalkan kosong oleh anak-anak mereka.
"Ini kerana anak-anak tidak mahu tinggal di sini disebabkan tiada geran. Kita bimbang sekiranya lebih ramai anak-anak yang meninggalkan kawasan apabila kami generasi pertama meninggal dunia nanti.
"Justeru saya berharap urusan KESEDAR mahupun kerajaan negeri masing-masing dapat bekerjasama bagi memudahkan urusan pemberian geran dilakukan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, KESEDAR akan menyerahkan hak milik tanah seluas 7,000 hektar kepada peneroka dalam tempoh terdekat.
Ahmad Zahid berkata proses pecah lot untuk tanah berkenaan sudah selesaikan dilakukan.
Katanya, seramai 2,200 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR akan mendapat hak milik tanah berkenaan.
-myMetro
No comments:
Post a Comment