GUA MUSANG: Peratusan keluar mengundi akan menjadi antara indikator penting menentukan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu ini.
Ia boleh menunjukkan sama ada Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kerusi itu atau Perikatan Nasional (PN) mengekalkannya.
BN yang memegang kerusi DUN itu selama empat penggal sejak ia mula dipertandingkan pada 2004, hanya tewas kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15, Ogos tahun lalu dengan majoriti 810 undi.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan, berkata antara faktor kekalahan BN pada PRN lalu disebabkan ramai pengundi tidak keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
"Jika jumlah keluar mengundi tinggi kali ini, insya-Allah ia akan memberi peluang cerah kepada BN," katanya.
Pada PRN tahun lalu, hanya 61 peratus pengundi DUN Nenggiri menunaikan tanggungjawab mereka yang menyaksikan calon BN dan penyandang kerusi itu, Ab Aziz Yussof tewas kepada calon PN, Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding menggunakan logo PAS.
Pada PRK ini, BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala PN menamakan calon BERSATU, Mohd Rizwadi Ismail yang akan bertanding menggunakan lambang PAS.
Azmi berkata, PRK kali ini mungkin lebih sengit dan membuahkan kemenangan lebih tipis kepada pemenang, kurang jumlah majoriti daripada PRN sebelum ini.
Pandangan senada dikongsi penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian yang mengemukakan empat faktor boleh menyumbang kemenangan BN.
Katanya, kemenangan BN bergantung kepada sejauh mana pengundi tegar keluar dan tidak melakukan undi protes, pengundi luar kembali dan menyokong serta peningkatan sokongan Orang Asli yang memberi impak dalam keputusan lalu.
"Jentera BN perlu memainkan peranan berterusan memastikan tidak ada sabotaj pada hari mengundi bila (pemilih) dibawa ke PDM (pusat daerah mengundi). İni juga bukan PRK Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah) bertembung dengan Annuar Musa (Tan Sri Annuar Musa).
"Juga bukan PRK pusat lawan negeri, tetapi untuk melihat sejauh mana masing-masing (BN dan PN) dapat kembalikan sokongan orang Melayu kerana majoriti lepas adalah tipis," katanya.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan 20,259 pengundi berdaftar diberi mandat untuk memilih wakil mereka dengan 86 peratus Melayu, 14 peratus Orang Asli, 0.2 peratus Cina dan 0.1 peratus India.
Daripada keseluruhan jumlah pengundi, 61 peratus pengundi muda bawah umur 39 tahun.
Hampir dua minggu berkempen, penganalisis politik, Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), melihat kedua-dua calon setakat ini masih ada peluang sama rata untuk menang.
"Apa pun keputusan, ia tidak mengubah kedudukan kerajaan PAS di Kelantan, tetapi kemenangan BN penting sebagai pemangkin kepada kekuatan UMNO di Kelantan, khususnya di Gua Musang.
"Gua Musang menjadi kawasan tradisi dan selamat bagi parti berkenaan sebelum ini," katanya turut berpendapat berdasarkan topografi penduduk, isu tempatan akan lebih mempengaruhi pengundi berbanding isu nasional.
Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, faktor pengundi luar sukar diambil kira sebagai penyumbang kemenangan calon yang bertanding di DUN Nenggiri.
"Saya tak fikir ramai pengundi luar akan balik. Mungkin kerana ini bukan pilihan raya yang akan menentukan kerajaan, kerajaan dah ada, tinggal lagi nak isi satu kerusi kosong.
"Kosong itu pun kerana mandat diberi kepada orang yang cuba mewakili kawasan berkenaan, tetapi orang itu kini tidak berparti. Oleh kerana itu, diisytihar kosong," kata bekas Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal itu.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas penyandang, Mohd Azizi digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun.
-BH Online
No comments:
Post a Comment