KUALA LUMPUR: Tindakan saman terhadap penyunting video fitnah Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Suara Keadilan akan dibuat sekiranya mempunyai kes yang kuat.
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, namun akan dimulakan dengan dibuat laporan polis terdahulu.
“Kita akan tengok kalau ada ‘strong case’ kita akan saman sebab dah disunting macam mana ucapan Menteri Besar Kelantan (yang) disunting oleh puak-puak yang ingin menjatuhkan nama beliau menggunakan teknologi AI (kecerdasan buatan).
“Banyak serangan fitnah banyak, cuma kita kena ambil tindakanlah. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) (juga perlu mengambil tindakan) dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Perikatan Nasional, Akmal Zahin Zainal Zahir yang telah membuat laporan polis dan juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, berlakunya ketegangan antara institusi diraja dengan Perikatan Nasional adalah berpunca daripada laman-laman media sosial yang telah menyunting secara salah.
“Saya rasa ini adalah satu benda yang tidak bertanggungjawab malah bagi saya bacul kerana mengambil sekerat-sekerat memotongnya dan melagakan dengan menyebarkan kepada rakyat.
“Sedangkan kita tahu Perikatan Nasional dan Bersatu adalah parti yang mempertahankan agama, bangsa dan negara. Mana mungkin kami akan meruntuhkan institusi Raja-raja Melayu,” jelas beliau.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang paling lantang dalam Parlimen mempertahankan hak Melayu, hak bumiputera, hak Islam dan sebagainya ketika mana Umno dalam Parlimen diam dalam banyak isu-isu Melayu.
“Kami (dari parti) Perikatan Nasional membangkit mempertahankan setiap perkara yang dibuat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Jadi sangat-sangat tak betullah dangkal tuduhan fitnah pihak-pihak ini ke atas kami.
“Bagi saya, ini ialah ‘character assassination’ (pembunuhan karakter) ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui video Suara Keadilan itu. Bila mana dah ditularkan, rakyat marah.
“Justeru, saya harap pihak polis, siasatan pihak polis dan apa sahaja yang telah akan dilakukan oleh pihak berkuasa mampu membersihkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“(Beliau) Presiden saya, Pengerusi Perikatan Nasional, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2024
No comments:
Post a Comment