KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius insiden perbalahan antara pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak, Tommy Mawat Bada pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan kedua-dua pemain terbabit tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut sekalipun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, pihaknya menunggu laporan penuh daripada komisioner perlawanan dan penilai pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.
“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM juga akan duduk berbincang untuk meneliti rakaman penuh video insiden berkenaan bagi mencadangkan tindakan lanjut.
“Memang kedua-dua pemain sudah dilayangkan kad kuning sejurus insiden itu, tetapi hukuman tambahan serta tindakan lanjut tetap boleh diambil jika ia dilihat perlu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan peminat bola sepak tanah air mempertikai keputusan pengadil apabila tidak melayangkan kad merah kepada Arif Aiman selepas dia dilihat menumbuk Tommy.
Majoriti penyokong bola sepak berpendapat pemain sayap kebangsaan itu seharusnya menerima kad merah kerana menumbuk pemain lawan sememangnya adalah kesalahan kad merah atas tindakan ganas berdasarkan peruntukan dalam Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).
Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail pula menganggap Razlan sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy selepas didapati bergaduh pada perlawanan itu.
Selain itu, Sivasundaram turut menasihatkan pemain supaya dapat mengawal emosi ketika di atas padang kerana tindakan mereka hanya akan mendatangkan masalah kepada diri sendiri jika dikenakan tindakan atau hukuman.
“Secara peribadi, saya melihat ia satu insiden yang serius apabila berlaku tindakan menumbuk dan juga mencekik yang dilakukan oleh kedua-dua pemain terbabit ketika insiden berkenaan.
“Apa pun kita akan tunggu laporan daripada Komisioner Perlawanan dan Penilai Pengadil bagi mengambil tindakan lanjut,” katanya.
-BuletinTV3
No comments:
Post a Comment