BAITULMAQDIS: Puluhan mangsa di Lubnan dan Gaza terbunuh dalam keadaan ngeri akibat serangan udara Israel, semalaman, sebelum luput tarikh akhir diberikan Amerika Syarikat (AS) untuk Israel meningkatkan akses bantuan ke Palestin, menurut penyelamat dan pihak berkuasa.
Satu lagi serangan di selatan ibu kota Syria, Damsyik mengorbankan sembilan orang termasuk seorang komander Hizbullah, lapor pemantau perang.
Menurut agensi pertahanan awam di Semenanjung Gaza, 13 kanak-kanak adalah antara 30 orang yang terbunuh akibat serangan Israel di utara wilayah itu.
Serangan pertama memusnahkan rumah di Jabalia, membunuh sekurang-kurangnya 25 mangsa termasuk 13 kanak-kanak selain mencederakan lebih 30 orang, kata Agensi Pertahanan Awam Gaza.
"Pada sekitar jam 6 pagi, 'terdapat satu letupan yang sangat besar' di rumah keluarga Alloush, dan apabila kami tiba di sini, semua mayat sudah berkecai dengan anggota badan serta cebisan mayat berselerakan.
"Israel mendakwa serangan dilakukan bagi menghalang pejuang Hamas daripada berkumpul semula di kawasan utara Gaza yang kini musnah teruk, selepas Israel sejak 7 Oktober 2023 melancarkan serangan udara dan darat besar-besaran.
"Namun, sebahagian besar mangsa yang maut dalam keadaan mengerikan adalah kanak-kanak dan wanita," katanya sambil menambah satu lagi serangan di kawasan Sabra, Gaza, membunuh lima orang.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menggambarkan kawasan itu sebagai 'terkepung', justeru Washington menetapkan tarikh akhir minggu ini untuk Israel meningkatkan penghantaran bantuan atau berdepan kemungkinan pemotongan bantuan ketenteraan.
Sementara itu, di Lubnan, Kementerian Kesihatan berkata, serangan Israel di kampung Almat di utara Beirut membunuh 23 orang termasuk tujuh kanak-kanak.
Selain itu, sekurang-kurangnya 15 lagi maut dalam serangan di timur serta tiga penyelamat yang bersekutu dengan Hizbullah terbunuh di selatan, kedua-dua kawasan di mana kumpulan yang disokong Iran itu mempunyai kehadiran kuat.
Ahli Parlimen Hizbullah, Raed Berro, berkata terdapat kanak-kanak, lelaki dan wanita tua terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Menurut pemantau perang, Syrian Observatory for Human Rights, serangan Israel ke atas sebuah apartmen milik Hizbullah di selatan Damsyik membunuh sembilan orang, termasuk seorang komander Hizbullah.
Susulan itu, Kementerian Luar Iran mengecam serangan dan menggesa 'sekatan senjata' ke atas Israel dan 'pengusirannya daripada PBB'.
Sejak akhir September, Israel terbabit dalam perang dua hala selepas mengalihkan tumpuannya ke arah utara, Lubnan.
Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS) pada 15 Oktober memberi amaran bahawa ia boleh menahan sebahagian bantuan bernilai berbilion dolar melainkan Israel menambah baik penghantaran bantuan ke Semenanjung Gaza dalam tempoh 30 hari, yang tamat pada Rabu ini.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, berkata pegawai atasan AS menjelaskan kepada kerajaan Israel bahawa perubahan perlu dibuat untuk melihat tahap bantuan yang masuk ke Gaza meningkat semula daripada tahap yang sangat rendah.
Amaran itu dikeluarkan sebelum pengundian 5 November lalu yang menyaksikan Donald Trump memenangi pemilihan Presiden AS 2024 dan sebelum ini mengesyorkan kebebasan lebih besar kepada Israel. - AFP
No comments:
Post a Comment