Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Malaysia mendesak dan membina konsensus untuk menggantung bahkan menyingkirkan Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masyarakat antarabangsa perlu bertindak pantas dan tegas, bukan sahaja demi rakyat Palestin, tetapi juga demi kemanusiaan sejagat.
“Kita wajib menghukum dan mencegah pelanggaran undang-undang serta norma antarabangsa yang dilakukan berulang kali oleh Israel.
“Rentetan kekejaman ini telah pun merebak ke beberapa negara termasuk Lubnan dan Iran; jika dunia berpaling pada saat ini, keganasan ini tidak akan kekal terhad.
“Malah ia pasti akan menyemarak dan mengancam rantau ini termasuk ke keseluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Ujarnya, beliau telah menyampaikan Kenyataan Negara itu bagi pihak seluruh rakyat Malaysia di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi.
Jelasnya lagi, adalah penting untuk menggandakan usaha membantu membangunkan semula Gaza daripada kehancuran.
Tegasnya, rencana itu juga harus dilaksana tanpa sebarang kelewatan.
Datuk Seri Anwar turut menyifatkan Israel telah melampaui batas, melampaui akal, melampaui kemanusiaan dan secara terang-terangan melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
“Israel tidak tergolong dalam negara yang bertamadun, dan kebiadabannya menuntut tindakan dan prinsip tegas untuk melindungi bukan sahaja Timur Tengah, tetapi seluruh tatanan global.
“Malah mereka kini telah menyerang nadi utama bagi kelangsungan hidup Palestin dengan menyasarkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
“Pembantaian ini menyebabkan kita tiada pilihan selain menuntut tindakan pantas dan berkesan masyarakat antarabangsa termasuk sekatan, penggantungan dan juga pengusiran,” katanya.
-BuletinTV3
No comments:
Post a Comment