DI AMERIKA, JUTAAN RAKYAT PROTES TRUMP; DI MALAYSIA, TRUMP DISAMBUT DENGAN TARIAN
1. Di Amerika Syarikat, jutaan rakyat keluar ke jalanan — menentang Donald Trump, memprotes dasar luar negara yang disifatkan tidak bermoral, dan mengecam industri senjata yang terus membekal jentera perang ke Timur Tengah. Namun, di Malaysia, presiden sama disambut dengan tarian dan tepukan gemuruh.
2. Ironinya, ketika rakyat Amerika menuntut keadilan, kerajaan Malaysia memilih untuk meraikan individu yang berbangga menjual senjata kepada Israel — sebuah negara yang sedang dikecam dunia atas serangan berterusan terhadap rakyat Palestin. Sambutan rasmi penuh mesra yang diberikan kepada Trump bukan sekadar upacara diplomatik. Ia membawa persoalan besar tentang moral, prinsip dan pendirian Malaysia terhadap penindasan dan keganasan yang ditaja oleh kekuatan ekonomi dunia.
AS: Penaja utama mesin perang Israel
3. Amerika Syarikat ialah penyumbang kewangan terbesar kepada kekuatan ketenteraan Israel. Setiap tahun, Washington menyalurkan AS$3.8 bilion (RM18 bilion) kepada Israel melalui Memorandum of Understanding (MOU) on Security Assistance, termasuk AS$500 juta setahun khusus untuk program peluru berpandu dan pertahanan udara.
4. Sejak tercetusnya konflik Gaza pada Oktober 2023, jumlah bantuan dan kelulusan senjata melonjak mendadak. Pelbagai laporan dari institusi penyelidikan seperti Quincy Institute dan Brown University’s Costs of War Project menyatakan bahawa jumlah bantuan ketenteraan tambahan dan jualan yang diluluskan sejak 7 Oktober 2023 sahaja telah melebihi AS$20 bilion, termasuk pakej kecemasan, peluru berpandu, jet pejuang dan sistem pertahanan.
5. Dengan kata lain, setiap peluru dan bom yang menghujani Gaza mungkin dibiayai — secara langsung atau tidak — oleh cukai rakyat Amerika.
Siapa yang untung daripada perang ini?
6. Industri senjata Amerika adalah antara yang paling berkuasa dan paling berpengaruh dalam politik Washington. Lima syarikat gergasi utama - Lockheed Martin, Boeing, Raytheon Technologies (RTX), Northrop Grumman, dan General Dynamics — merupakan penerima manfaat utama daripada konflik berterusan di Timur Tengah.
i. Lockheed Martin — membekal jet pejuang F-35I Adir kepada Israel; perjanjian sedia ada melibatkan 25 buah jet bernilai sekitar AS$3 bilion, sebahagian daripada kontrak jangka panjang bernilai berbilion dolar yang melibatkan penyelenggaraan dan komponen sokongan.
ii. Boeing — menerima kelulusan besar sejak 2023; laporan penyiasatan mendedahkan jumlah kelulusan jualan dan pembekalan bernilai lebih AS$26.7 bilion kepada Israel selepas 7 Oktober 2023, termasuk pesawat F-15, helikopter AH-64 Apache, serta peluru berpandu berpandu pintar.
iii. RTX (Raytheon Technologies) — membekal peluru berpandu AMRAAM, Sidewinder, dan TOW, serta sistem peluru berpandu pertahanan udara.
iv. Northrop Grumman — terlibat dalam pembekalan radar, avionik dan sistem dron bernilai tinggi melalui kontrak penyelenggaraan dan pembaikan.
v. General Dynamics dan L3Harris — membekal kenderaan berperisai, sistem komunikasi dan logistik ketenteraan.
7. Kesemua kontrak ini diluluskan melalui mekanisme Foreign Military Sales (FMS) — bermakna transaksi dilakukan dengan kelulusan kerajaan AS dan sebahagiannya dibiayai terus daripada bantuan tahunan AS kepada Israel.
Trump dan ‘kebanggaan menjual senjata’
8. Donald Trump sendiri sering berbangga bahawa pentadbirannya “menjual lebih banyak senjata daripada mana-mana presiden sebelumnya.” Ketika kempen 2024, beliau dengan lantang menegaskan bahawa kekuatan Amerika mesti “diterjemahkan melalui dominasi ketenteraan.” Dalam salah satu ucapannya, Trump malah menyebut bahawa “menjual senjata adalah cara Amerika mengekalkan keamanan dunia.”
9. Diplomasi tidak bermakna tunduk tanpa prinsip. Ia sepatutnya berasaskan keseimbangan antara hubungan antarabangsa dan nilai kemanusiaan. Menjemput dan meraikan presiden yang secara terbuka memperkukuh rantaian senjata yang menyokong penindasan adalah tindakan yang sukar dijustifikasi — lebih-lebih lagi apabila rakyat Malaysia sendiri berarak hampir setiap minggu menuntut pembebasan Palestin.
10. Rakyat Amerika kini semakin lantang menentang Trump. Tetapi di Malaysia — negara yang pernah menjadi suara kuat bagi dunia Islam — kita memilih untuk menyambut tokoh utama industri senjata itu dengan persembahan budaya dan karpet merah. Ia bukan sahaja kontras yang menyakitkan — ia mencerminkan kehilangan arah moral dan kebaculan diplomatik.
DATUK TUN FAISAL ISMAIL BIN AZIZ
KETUA PENERANGAN
PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA (BERSATU)
27 OKTOBER 2025










No comments:
Post a Comment