“Dr. Burhanuddin Helmi, Anak Melayu Pertama Berjuang dan Dipenjara di Falasteen!”
Oleh: Azizul Farhan
Ramai tak tahu, sebelum Malaysia merdeka lagi, ada seorang anak Melayu yang berani menjejak kaki ke bumi Falasteen untuk menentang penjajahan British dan kezaliman Zayones.
Namanya Dr. Burhanuddin al-Helmi, tokoh politik besar yang kemudian menjadi Presiden PAS dan antara suara kemerdekaan paling lantang di Tanah Melayu.
Tahun 1936, ketika berusia 25 tahun, Dr. Burhanuddin menuntut di Aligarh Muslim University di India. Ketika itu beliau menyertai pergerakan menentang penjajahan terinspirasi oleh tokoh besar seperti Muhammad Ali Jinnah dan Mahatma Gandhi.
Dari situ, beliau bertolak ke Falasteen untuk melihat sendiri penderitaan rakyat Falaesteen di bawah British dan Zayones.
Sampai di sana, beliau sertai perarakan besar-besaran yang dipimpin oleh Mufti Baitulmaqdis, Sheikh Mohammad Amin al-Husayni, menentang Deklarasi Balfour 1917 iaitu perjanjian yang membuka jalan kepada penubuhan negara Issewel. Tapi keberaniannya dibalas dengan penjara.
Beliau ditahan beberapa hari oleh pihak British atas tuduhan menyertai perhimpunan haram menentang pentadbiran mereka di Falasteen.
Selepas dibebaskan, beliau kembali ke Singapura pada tahun 1937 dan menerbitkan majalah Taman Bahagia, sebuah naskhah politik dan Islam yang membongkar kezaliman British terhadap umat Islam termasuk isu Falasteen.
Tapi majalah itu segera diharamkan. British takut kebangkitan kesedaran nasionalisme berlaku dalam kalangan orang Melayu.
Dr. Burhanuddin ditahan lagi dan dipenjara enam bulan di Singapura tetapi dibebaskan dengan wang jaminan dibayar oleh keluarga al-Sagoff.
Tulisan dan keberanian Dr. Burhanuddin membakar semangat generasi muda Tanah Melayu waktu itu. Dalam era di mana dunia Melayu masih dijajah, beliau sudah bercakap tentang kemerdekaan bangsa dan kebebasan Falasteen serentak.
Pandangannya jelas, penjajahan di Falasteen dan Tanah Melayu datang dari akar yang sama iaitu imperialisme Barat dan British.
Tapi beliau bukan satu-satunya. Tahun-tahun 1930-an hingga 1940-an sebenarnya menyaksikan gelombang kesedaran Falasteen dalam dunia Melayu.
Akhbar Semangat Islam melaporkan bagaimana pelajar Melayu di Mesir seperti Abu Bakar Ashaari dan Abdul Kahar Muzakkir ke Falasteen pada 1930 untuk menyertai Suruhanjaya Buraq al-Sharif, sebuah badan anjuran Liga Bangsa bagi meredakan ketegangan agama di Baitulmaqdis.
Tahun 1931 pula, Mufti Amin al-Husayni menganjurkan Muktamar Alam Islami dan Abdul Kahar, seorang pelajar Melayu dilantik sebagai setiausahanya.
Menjelang tahun 1940-an, nama-nama seperti Sardon Jubir, Abdullah Yahaya dan A. Mohd Hussein pula menyambung legasi perjuangan itu di Tanah Melayu. Mereka menubuhkan Jawatankuasa Anti-Pemisahan Falasteen pada tahun 1947 di Singapura, membantah rancangan Resolusi 181 PBB yang memecah Falasteen kepada dua wilayah kepada wilayah Arab dan Yahudi.
UMNO juga secara rasmi membantah penjajahan Zayones dalam Perhimpunan Agung 1948, manakala Hizbul Muslimin dan PKMM menjadikan isu Falasteen antara topik utama dalam Persidangan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) di Gunung Semanggol.
Sokongan rakyat Melayu terhadap Falasteen waktu itu membara macam sekarang. Tahun 1949, Singapore Muslim Palestine Relief Committee berjaya kumpulkan S$14,000, jumlah yang amat besar pada waktu itu untuk disalurkan kepada rakyat Falasteen yang menderita.
Dr. Burhanuddin menjadi lambang bahawa kesedaran Falasteen dalam jiwa Melayu. Ia lahir daripada hati seorang pejuang yang melihat perjuangan menentang penjajahan sebagai satu, sama ada di Tanah Melayu atau di Baitulmaqdis.
Beliau bukan sahaja doktor, tapi juga penulis, ulama, nasionalis dan idealis yang menyatukan perjuangan agama dan kemerdekaan.
Dalam sejarah, beliau sepatutnya bukan hanya diingati sebagai Presiden PAS, tetapi juga sebagai anak Melayu pertama yang berjuang dan ditahan di bumi Falasteen.
No comments:
Post a Comment