JANGAN MEGAH HIDUP MEWAH HASIL RASUAH… TETAPI MALU MENCARI REZEKI SECARA HALAL
Pada suatu masa ketika berada di puncak kerjaya, aku pernah ditawarkan peluang untuk menjadi kaya ke tahap jutawan.
Ia satu proses mudah yang sudah menjadi amalan biasa sejak sekian lama oleh golongan berpengaruh, terutama “orang politik” yang ada kabel besar dengan pimpinan tinggi kerajaaan.
Namun, setelah aku menyelidik dan menilai sumber sebenar datangnya kekayaan itu - aku menolaknya kerana ia membabitkan penyelewengan dana projek daripada wang rakyat.
Pada masa yang sama, aku sudah kerap menyaksikan beberapa sahabat lama yang kaya-raya menerusi kaedah berkenaan - tetapi di sebalik kemewahan itu, hidup mereka tidak tenang dan “kurang sihat.”
Begitu juga dengan jawatan di puncak kenaya aku sebagai seorang wartawan dan editor kanan - apabila sudah dipaksa “bersubahat” dengan penyelewengan dan perkara-perkara “muslihat propaganda politik” - aku perlu mencari jalan keluar dari “kepompong munafik” ini.
Maka pada akhir 2014, selepas menunaikan Solat Sunat Istikharoh selama tujuh malam berturut-turut berakhir pada malam Jumaat - aku mendapat petunjuk Allah untuk berundur dan meninggalkan pendapatan terjamin lima angka sebulan.
Aku kembali ke asal-usul ibu bapa dan nenek moyangku sebagai anak kampung marhaen tepi Sungai Pahang dengan niat untuk menghabiskan sisa-sisa usiaku dengan berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair serta mengibarkan panji perjuangan - “BERDIRI UNTUK ALAM, KEMANUSIAAN & KEADILAN”
Namun, niat baik aku disambut dengan penuh curiga oleh petualang-petualang bangsa dan tanahair, yang ketika itu sedang leka dibuai kemewahan hasil menyakau dana rakyat serta menjual alam dan tanah warisan nenek-moyang kepada bangsa lain.
Yang paling mereka takuti adalah kerana aku juga pernah menjadi “orang dalam” yang tahu banyak rahsia serta ada banyak maklumat dan bukti mengenai kegiatan “haramjadah” itu.
Maka bermulalah “perang dingin” yang berakhir dengan tindakan zalim yang bukan sahaja di luar kebiasaan, malah mencatat lembaran sejarah baharu Negeri Tanah Melayu Pahang khususnya, dan Malaysia umumnya.
Perusahaan ternakan ikan Patin dalam sangkar di Sungai Pahang milik aku dan keluarga, tiba-tiba diberi notis oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk diroboh dan dimusnahkan dengan alasan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran - sedangkan beribu-ribu sangkar ikan lain di sepanjang Sungai Pahang dan anak sungainya, termasuk milik warga Kemboja di Pulau Keladi, Pekan - tidak pernah diberikan notis seumpama itu walaupun tanpa Lesen Tumpangan Sementara (TOL) seperti saya (kami sudah memohon tetapi tidak pernah diluluskan).
Untuk meneruskan kehidupan marhaen, pelbagai usaha aku lakukan untuk mencari rezeki halal buat keluarga besarku, khususnya dalam bidang pertanian termasuk menjadi peniaga kecil jalanan.
Terdengar suara-suara sinis jutawan politik yang mengenali aku berkata: “Padan dengan muka dia. Elok-elok ada kerja tetap, berhenti dan cari penyakit.”
Alhamdulillah - walaupun sumber rezeki tunggal keluarga saya selepas bersara ketika itu (menternak ikan dalam sangkar) disekat dan “periuk nasi saya terus ditabur pasir” - rezeki Allah tetap mengalir tanpa putus dan kesihatan serta ketenangan dan kebahagiaan hidup saya sekeluarga tetap dalam Rahmat dan lindungan-Nya.
Kemuncaknya, pada tahun 2022 saya disaman pula dengan tuntutan gantirugi RM1 juta oleh Kerajaan Negeri Pahang sendiri (kes yang baru diselesaikan atas persetujuan bersama, beberapa hari lalu di Mahkamah Tinggi Kuantan).
Dengan izin Allah dalam redha dan penuh kesyukuran - saya akan terus melangkah meniti kehidupan masa depan sebagai seorang marhaen dengan semangat perjuangan yang tidak akan pernah pudar - “Berdiri untuk Alam, Kemanusiaan dan Keadilan.”
Teringat kata-kata semangat pahlawan Iban ketika saya bermastautin enam tahun di Sarawak dulu - “Agi idup, agi ngelaban” (selagi hidup, selagi berjuang).
Tetapi bagi orang kaya politik atau kaya hasil rasuah dan penyelewengan pula “cogan kata hidup” mereka pula adalah “SELAGI HIDUP, SELAGI NGELABAH!”
Wartawan Tua
Pekan Sehari Chenor,
Khamis, 22 Januari 2026










No comments:
Post a Comment