1. YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, kata PAS sepatutnya “terbubar” sendiri apabila UMNO telah menukar dasar kepada Islam di dalam Perlembagaan.
2. Datuk Seri Zahid berhujah dengan memetik kata-kata Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyatakan PAS akan “terbubar” jika UMNO bersedia menukar dasar kepada Islam.
3. Dengan hormat, saya tidak ingin mengambil serius sangat ucapan sepintas lalu Datuk Seri Zahid ini — sekadar respons ringkas bahawa setiap kata-kata itu sesuai dengan zamannya.
4. Kalau nak diambil hujah ucapan lama, bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah kata Melayu akan menjadi “bangsat” apabila UMNO kalah. Ucapan itu dikeluarkan pada tahun 2015. (Rujuk https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2015/08/76749/orang-melayu-akan-bangsat-jika-umno-hilang-kuasa-najib)
5. UMNO telah kalah pada tahun 2018 dan tidak pun boleh dikatakan menang pada tahun 2022, walaupun menyertai kerajaan pada hari ini.
6. Soalan saya: adakah Melayu sedang menjadi “bangsat” sekarang ini?
7. Jika benar Melayu menjadi “bangsat” seperti dakwaan itu, maka apa yang sedang UMNO usahakan untuk memartabatkan kembali Melayu selain daripada bersama DAP di dalam kerajaan?
8. Jika dibandingkan dengan ucapan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz yang tidak pun bersumpah dengan nama Allah, bagaimana pula dengan ucapan Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Zahid Hamidi, yang bersumpah dengan nama Allah tidak akan bersama Anwar Ibrahim juga DAP?
9. Baguslah UMNO telah menukar dasar kepada Islam, tetapi dengan situasi UMNO berada di dalam kerajaan dan boleh menukar dasar pada bila-bila masa seperti hari ini, sangatlah lebih utama untuk PAS terus kekal berdiri.
10. Saya tidak mendoakan UMNO bubar — kerana UMNO masih punya peranan dan juga kekuatannya yang tersendiri, ada sumbangan yang masih diperlukan daripada UMNO.
11. Tetapi jika dibandingkan dengan PAS, saya kira dan amat yakin hayat politik PAS jauh lebih lama daripada UMNO, insya-Allah.
12. Kerana di dunia ini tidak ada yang kekal melainkan Allah — sekadar respons ringkas kepada YAB Datuk Seri Presiden UMNO.










No comments:
Post a Comment